Finas dinasihat dengar pandangan Ahmad Idham
Penasihat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) Datuk Jurey Latiff Rosley berkata isu dibangkitkan penerbit Ahmad Idham tidak sepatutnya dipandang remeh oleh jawatan kuasa Skim Wajib Tayang.
Menurutnya syarat Skim Wajib Tayang mengikut akta Finas sepatutnya menjamin hak penerbit filem tempatan mendapatkan slot tayangan di semua pawagam seluruh negara tanpa ada pengecualian.
“Saya terpanggil untuk memberi komen setelah isu ini semakin panas apabila kenyataan balas cabar mencabar antara Ahmad Idham dan pengerusi Skim Wajib Tayang Finas.
“Situasi ini amatlah tidak sihat dan memburukkan lagi keadaan. Saya ingin menasihatkan Finas sebagai agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam industri perfileman diharap agar tidak membiarkan isu ini berlarutan,” katanya dalam satu kenyataan.
Malaysiakini sebelum ini menyiarkan kenyataan Ahmad Idham yang berpendapat tanpa garis panduan jelas, syarat Skim Wajib Tayang mungkin antara punca banyak filem Melayu gagal di pawagam.
Ahmad Idham yang juga seorang pelakon dan pengarah berkata dia ibarat mengemis di tempat sendiri untuk mendapatkan jumlah panggung bagi menayangkan filem terbarunya Hantu Wangan.
Katanya, apabila diminta penjelasan, pihak Skim Wajib Tayang mengatakan mereka perlu menilai sesuatu filem berdasarkan "gred A, B atau C".
Pada awalnya hanya 29 pawagam ditetapkan, namun setelah Ahmad Idham berulang alik dan bertemu jawatan kuasa Skim Wajib Tayang, pihak berkenaan membenarkan 43 pawagam menayangkan Hantu Wangan.
Sehubungan itu Ahmad Idham bercadang melaporkan perkara itu kepada kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Terdahulu laporan media menyebut Pengerusi Skim Wajib Tayang Zahrin Aris menjawab dakwaan tersebut yang dianggap mempertikaikan kredibilitinya.
Zahrin turut kecewa dengan dakwaan Ahmad Idham bahawa anggota jawatan kuasa Skim Wajib Tayang mengambil sikap endah tak endah dan seolah-olah menindas penerbit kecil.
"Apa yang Skim Wajib Tayang buat kami ada peraturan ditetapkan dan saya tidak boleh langgar. Setakat ini, semua saya ikut," katanya.
Zahrin juga memberitahu syarat Skim Wajib Tayang bakal dipinda bagi penambahbaikkan dalam usaha memartabatkan industri perfileman tanah air.
Mengulas lanjut, Jurey berkata inisiatif kerajaan jelas bertujuan membantu industri filem dan ia sepatutnya tiada masalah untuk memastikan Ahmad Idham mendapat jumlah pawagam yang dipohon.
“Pawagam wajib menayangkan filem yang telah diluluskan oleh LPF dan yang telah memohon tayangan melalui syarat Skim Wajib Tayang Finas.
“Ahmad Idham dan penerbit penerbit filem kecil ini wajib dibantu bagi memastikan mereka dapat bersaing berkarya menghasilkan filem tempatan selain daripada syarikat perfileman besar yang menguasai pasaran filem tempatan,” katanya.

