Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak ketinggalan mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin yang selamat menimang cahaya mata pagi tadi.
Melalui sebuah rakaman yang dimuat naik di media sosial, Dr Mahathir berkongsi ucapan berkenaan yang menyifatkan kelahiran anak pertama itu sebagai nikmat dalam rumah tangga.
“Asalammualaikum Datuk Seri Khalid dan Datuk Seri Siti Nurhaliza, saya tumpang gembira kerana pasangan kita kenali dengan dekat dapat cahaya mata.
“Saya harap ini akan menggembirakan bukan saja Datuk berdua tetapi (saya) yakin ramai rakyat Malaysia gembira dengar berita ini.
“Ini adalah satu berita baik dalam keadaan ramai kurang senang dengan keadaan. Kelahiran anak pertama ini adalah satu nikmat,” katanya.
Walaupun ucapan berkenaan seperti tidak sempat dirakam sehingga habis, Dr Mahathir menyertakan keterangan pada klip video yang dimuat naik itu.
“Saya amat gembira mendengar berita Datuk Seri @ctdk telah selamat melahirkan cahaya mata yang pertama pagi tadi dan kedua-dua mereka dalam keadaan sihat.
“Tahniah saya ucapkan kepada Siti dan Datuk Seri Khalid.
“Berita ini pasti menggembirakan seluruh rakyat Malaysia. Ia adalah nikmat yang tak terhingga nilainya,” tulisnya.
Siti, 39, melahirkan bayi perempuan yang diberi nama panggilan sementara Fatimah Az Zahra di sebuah pusat perubatan pagi tadi.
Bayi berkenaan yang dilahirkan seberat 3.55 kilogram dilapor dalam keadaan baik dan sihat.
Penyanyi Percayalah itu berkahwin dengan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa pada 21 Ogos 2006 di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
