Intan Liana Saleh mengaku terkilan apabila bekas suaminya Muhammad Radzi Abdul Wahid menggesanya "berhenti membuat drama air mata" selepas mereka sah bercerai talak satu di mahkamah semalam.
Intan malah mengaku terkejut apabila Muhammad Radzi atau Ude, seorang pemuzik bebas yang juga suami kepada pelakon Izreen Azminda membuat kenyataan sedemikian.
Katanya, dia juga tidak tahu dari mana timbul isu rumah tangga mereka dikatakan berdepan masalah sejak dua tahun lalu selain sebab Ude, 30, meluahkan kata-kata begitu kepada media.
“Saya terkilan apabila diminta berhenti membuat 'drama' dengan menggunakan air mata.
“Bagaimana timbul cerita hubungan kami bermasalah sejak dua tahun lalu sedangkan anak kedua baru berusia setahun?” katanya.
Memetik laporan BH Online, Ude melafazkan talak satu di hadapan Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkannya Januari lalu.
Permohonan cerai difailkan mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Intan, 33, pada masa sama turut mempersoalkan sama ada kebahagiaan dipamerkan Ude selama ini adalah satu pembohongan terutama apabila bekas suaminya itu memetik faktor berkenaan antara yang mencetuskan perceraian antara mereka berdua.
“Saya pernah buat pengakuan reda untuk dimadukan selepas terbongkarnya perkahwinan bekas suami dengan pelakon, Izreen Azminda.
“Sekiranya benar Ude tidak bahagia dengan saya, adakah selama ini dia sekadar berlakon?
“Saya terkejut apabila faktor tidak bahagia itu dijadikan salah satu punca (perceraian). Terpulanglah kepada mereka di luar untuk menghakimi sendiri situasi ini,” katanya.
Bukan nak buka aib
Bagaimanapun, Intan berkata dia tidak berniat membuka pekung sesiapa mengenai komen dibuat terhadap bekas suaminya itu.
“Saya tidak berniat membuka aib sesiapa. Saya cuma terpanggil membuat kenyataan bagi membetulkan apa yang tidak benar," katanya.
Selepas selesai prosiding semalam, Ude mengeluarkan kenyataan berhubung kemelut yang didakwa menghimpit rumah tangga mereka.
Pemuzik bebas itu mendakwa masalah itu berlarutan lebih dua tahun sebelum dia mengenali Izreen yang dinikahinya, 8 Ogos lalu.
Intan dan Ude bernikah pada 1 Mac 2013 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Arish Muqri, 3, dan Ariq Muqri, setahun.
November lalu, kontroversi tercetus apabila Izreen mendedahkan dia sudah berkahwin dengan Ude dalam satu majlis tertutup. Pernikahan itu juga dirahsiakan atas permintaan Ude.
