'Gila-Gila tak buat berita palsu, mengumpat saja'
Majalah Gila-Gila adalah bahan bacaan yang mengandungi unsur "mengumpat" tentang sesuatu isu dan bukannya menyebar berita palsu.
Kartunis terkenal, Jaafar Taib berkata demikian sebagai mengulas Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 yang diluluskan parlimen.
“Dalam Majalah Gila-Gila kita tak buat berita palsu, kita tak ada politik dan sebagainya jadi kita tak bimbang sangatlah tentang RUU berita palsu.
“Pada kita di Gila-Gila tak ada (berita palsu), kita hanya mengumpat sesuatu (isu) sahaja,” katanya di Auditorium Jabatan Muzium Negara, Kuala Lumpur.

RUU Antiberita Tidak Benar diluluskan parlimen Rabu lalu bagi mengekang penyebaran berita palsu.
Namun, beberapa pihak termasuk pemimpin pembangkang mengkritik RUU itu kerana dikhuatiri menjadi alat kerajaan mengekang kebebasan bersuara.
RUU Antiberita Tidak Benar 2018 diluluskan parlimen Rabu lalu memperuntukan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya, bagi mereka yang mengadakan, menawarkan dan menerbitkan berita tidak benar.
Hukuman sama juga boleh dikenakan ke atas mereka yang menyediakan bantuan kewangan bagi maksud melakukan atau memudahkan pelakuan penghasilan berita tidak benar itu.
Kembali menyengat
Terdahulu Jaafar hadir sebagai panelis forum Hari Kartunis 2018 di Auditorium Muzium Negara sempena meraikan 40 tahun penerbitan majalah Gila-Gila.
Majalah Gila-Gila yang mencapai era kegemilangan pada 1980-an merupakan majalah satira terbitan Creative Enterprise Sdn Bhd (CESB) yang menjadi pelantar bagi kartunis tanah air mencipta nama.

Pada era kegemilangannya, Gila-Gila menyentuh pelbagai isu termasuk isu-isu sosial dan politik yang juga memuatkan karikatur wajah ahli politik dalam dan luar negara.
Namun, beberapa kali majalah itu dikatakan hampir terkubur dengan Jaafar kini bersendirian menerajui pengurusan selepas beberapa rakan pengasasnya menarik diri.
Baru-baru ini Gila Gila dilihat kembali 'menyengat' dengan sindiran melalui kartun.
Pada edisi November tahun lalu, muka depan dengan karya Jaafar yang juga merupakan ketua pengarang memaparkan aksi seorang lelaki yang terkejut diserbu pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Muka depan edisi 788 itu boleh ditafsirkan sebagai pandangan majalah itu kepada isu rasuah - termasuk yang berprofil tinggi - di dalam negara ini.

Isu Februari 2018 pula menarik perhatian pengguna media sosial apabila muka depannya memuatkan memuatkan karikatur Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Muka depan untuk keluaran 803 itu menggambarkan Najib seolah-olah sedang gelisah memikirkan tarikh pilihan raya Umum ke-14.
Sejak diterbitkan pada April 1978 Gila Gila memang dikenali sebagai sebuah majalah humor yang 'berisi' kerana sering peka kepada perkembangan semasa.
Malah Tun Dr Mahathir Mohamad turut pernah menjadi bahan untuk majalah itu.Tidak ketinggalan, Tan Sri Elyas Omar yang pernah menjadi Datuk Bandar Kuala Lumpur antara Februari 1983 hingga November 1992.

