Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Malaysia rangkul 6 anugerah filem Tamil di Norway
Diterbitkan:  Apr 2, 2018 3:53 PM
Dikemaskini: 8:31 AM

Malaysia berjaya merangkul enam anugerah berprestij di Festival Filem Tamil Norway ke-9 menerusi dua filem dan dua filem pendek.

Festival Filem Tamil Norway berkenaan akan berlangsung di Oslo, Norway pada 26 hingga 29 April depan.

Filem Thottam (2017) arahan Arangkannal Raj meraih Anugerah Filem Terbaik.

Ia mengangkat kisah perjuangan penduduk estet yang menuntut hak berikutan ladang tempat mereka bekerja sejak turun-temurun dijual bagi tujuan pembangunan.

Filem Sughamaai Subbulakshmi terbitan M A Productions House Sdn Bhd turut mendapat pengiktirafan menerusi Anugerah Pengarah Terbaik bagi Karthik Shamalan dan Anugerah Pelakon Wanita Terbaik bagi Punitah Shanmugam.

Filem ini yang turut menampilkan pelakon seperti Saresh D7, Bagya Arivuckarasu, Kuben Mahadevan dan G Crack Karnan bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 17 Mei 2018.

Sughamaai Subbulakshmi menyajikan kisah dilema dan keperluan membuat pilihan antara cinta dan cita-cita.

Ia mengungkapkan tema cinta dari sudut berbeza. Perasaan cinta, persahabatan dan impian mencapai cita-cita disajikan menerusi kehidupan watak-watak utama pada usia yang berbeza.

Dalam kategori filem pendek pula, Thiruvin Manggai arahan Viknish Lokarag Asokan menerima Anugerah Filem Pendek Terbaik.

Ia mengangkat kisah seorang pemuda cacat penglihatan yang menaruh hati terhadap seorang wanita yang pernah dikecewakan kekasih.

Dua lagi anugerah menjadi milik Malaysia adalah menerusi filem pendek Mudhal Padayal iaitu Anugerah Pengarah Terbaik bagi Mathankumaran Madhavan dan Anugerah Khas Juri untuk R Thinakaran.

Filem Festival Tamil Norway bertujuan mengiktiraf filem, filem pendek, dokumentari, dan video muzik Bahasa Tamil yang dihasilkan di Sri Lanka, Tamil Nadu (India), Malaysia, Kanada, Norway, Perancis, United Kingdom, Amerika Syarikat, Oman, Denmark dan Jerman.

Lihat Komen
ADS