Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Chef Wan: Komen juri MasterChef UK tak adil
Diterbitkan:  Apr 3, 2018 12:24 PM
Dikemaskini: 4:36 AM

Komen dibuat juri program MasterChef UK berhubung nasi lemak rendang ayam hasil air tangan peserta Zaleha Kadir Olpin bukan saja mengundang kemarahan rakyat Malaysia, malah turut mendapat perhatian chef selebriti terkenal, Chef Wan.

Dalam mempertahankan masakan tradisi yang dekat di hati umum itu, Chef Wan berkata kedua-dua juri iaitu John Torode dan Gregg Wallace tidak mempunyai pengetahuan luas dalam bidang diceburi mereka.

“Dia (Zaleha) bukan menghidangkan Duck Ala Orange atau Confit D Carnard, kedua-duanya juga tidak memerlukan kulit yang garing.

“Terdapat juga komen mengenai nasi lemak dan sambal yang saya anggap tidak adil dan mengecewakan.

“Juri nampaknya tidak tahu kaedah sebenar untuk memasak makanan kita dan kaedah menyiapkannya,” katanya melalui Instagram.

Status dimuat naik itu turut disertakan dengan imej hidangan rendang ayam. Setakat semakan Malaysiakini hingga pagi ini, ia mendapat lebih 3,000 tanda suka.

Sebelum tersingkir, Zaleha perlu berdepan cabaran untuk memasak hidangan yang dianggap istimewa dalam hidupnya.

Wanita itu memilih juadah nasi lemak dimasak bersama rendang ayam kerana ia makanan kegemarannya sejak kecil.

Bagaimanapun, Torode dan Wallace tidak berpuas hati terhadap hidangan disediakan.

Ternyata ulasan daripada Wallace lebih menjengkelkan kerana dia berpendapat “kulit ayam tidak rangup” selain berkata kuah berlebihan pada rendang menjadikanya sukar untuk dimakan.

Torode pula berkata, meletakkan ayam rendang di sisi nasi lemak adalah satu kesilapan besar.

Juri kemudian mengambil keputusan untuk menyingkirkan Zaleha atas alasan yang dianggap umum sebagai tidak munasabah itu.

Hal ini turut menimbulkan keanehan kerana seorang daripada juri berkenaan iaitu Torode pernah mengacarakan John Torode’s Malaysian Adventure untuk saluran Good Food yang disiarkan pada tahun 2015.

Pendek kata, sepatutnya Torode sedia maklum mengenai juadah yang menjadi kegemaran di negara ini.

Gesa tarik balik keputusan

Chef Wan atau nama penuhnya Datuk Redzuawan Ismail dalam pada itu menggesa juri MasterChef UK untuk menarik balik keputusan yang dibuat ke atas Zaleha.

“Tidak mengapa jika dia kalah untuk sebab yang sepatutnya, tetapi bukan dalam kes ini.

“Mereka perlu memasukkan dia semula dalam program itu dan memohon maaf kepadanya secara umum jika MasterChef UK mahu memulihkan semula kredibiliti mereka,” katanya.

Sementara itu, Zaleha berkata, biarpun pahit, penyingkirannya daripada rancangan yang disiarkan saluran BBC pada 25 Mac lalu itu memberi pengalaman paling berharga.

“Kecewa disingkirkan dari #masterchefuk tetapi saya tetap berpegang kepada cara tradisi untuk memasak nasi lemak. Saya tidak akan menukar kaedah itu untuk apa jua alasan sekalipun.

“Terima kasih kerana sokongan dan ucapan. Sepertimana pernah diluahkan seorang rakan, perkara yang tidak membunuh menjadikan kita lebih kuat,” katanya

Untuk makluman, Zaleha, 48 tahun berasal dari Kuantan, Pahang kini menetap di Bristol, UK bersama suami dan dua anak perempuan.

Lihat Komen
ADS