Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Masterchef UK tak mengaku juri kata ayam rendang kena rangup
Diterbitkan:  Apr 4, 2018 11:32 AM
Dikemaskini: 3:34 AM

Dibidas segenap penjuru, Masterchef UK akhirnya tampil menafikan juri rancangannya Gregg Wallace berkata ayam nasi rendang Zaleha Kadir Olpin tidak rangup.

Penafian itu bertentangan sekali dengan video yang beredar oleh pihak ketiga dan media lain berkaitan perkara itu, yang jelas menunjukkan beliau berkata demikian.

“Gregg tidak mencadangkan juadah itu secara tradisionalnya harus rangup.

“Dia berkata dia tidak dapat menikmati rasa juadah yang dihidangkan itu.

“Masterchef sentiasa meraikan masakan antarabangsa dan dalam kes itu, komen juri-juri kami relevan dengan juadah yang dimasak dalam rancangan itu,” kata jurucakap rancangan itu seperti dilaporkan oleh Malay Mail Online.

Pada 25 Mac lalu, dua juri MasterChef UK, John Torode dan Gregg Wallace tidak berpuas hati dengan hidangan nasi lemak Zaleha.

Wallace berkata kulit ayam yang dimasak Zaleha tidak rangup selain kuah berlebihan pada rendang menjadikannya sukar dimakan.

Torode pula berkata, meletakkan ayam rendang di sisi nasi lemak adalah satu kesilapan besar.

Kedua-dua juri menyingkirkan Zaleha.

Zaleha, anak Pahang yang menetap di UK itu, mengaku kecewa dengan keputusan itu tetapi mempertahankan cara tradisi memasaknya.

Susulan keputusan itu, pelbagai pihak tampil mengkritik juri terbabit yang dilihat jahil berkaitan makanan rakyat Malaysia dan Indonesia itu.

Beberapa tokoh terkemuka turut tampil menyelar rancangan itu, termasuk Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia HE Vicki Treadell dan Cef selebriti Chef Wan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS