Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Mahligai Aliff 30 bilik, hiasan dalaman RM11 juta
Diterbitkan:  Apr 4, 2018 4:33 PM
Dikemaskini: 8:40 AM

Dari tinggal di rumah setinggan, akhirnya impian usahawan kosmetik dan selebriti Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman untuk memiliki sebuah rumah agam tercapai pada usianya 31 tahun.

Mahligai lengkap 30 bilik termasuk surau, pawagam mini dan bilik karaoke yang dibina di atas tanah bernilai RM13 juta itu dinamakan sempena nama beliau Aliff Syukri Palace.

Walaupun mendedahkan peruntukan sebesar RM11 juta bagi kos hiasan dalaman, Aliff masih merahsiakan kos keseluruhan kediaman yang mula dirancang pembinaannya sejak 2015 itu

“Dahulu, saya selalu memasang impian mahu memiliki banglo dan impian itu dipenuhi ketika usia 24 tahun. Selepas itu, saya menyimpan impian mahu memiliki kediaman seperti istana pula.

“Saya sedar untuk dapat apa yang saya hendak, saya harus be­kerja keras. Saya terus berusaha hingga akhirnya saya mendapat apa yang saya impikan. Jangan menyerah dan teruskan usaha untuk mencapainya,” kata Aliff.

Memetik laporan Utusan Online, penyanyi lagu Abang Nak Tegur itu sebelum ini sering memuat naik mengenai perihal berkaitan pembinaan banglo berkenaan dalam media sosial.

Ia sering mengundang rasa ingin tahu masyarakat.

Namun, hal itu sudah menjadi kebiasaan kerana bapa kepada lima anak itu memang tidak lokek berkongsi perkembangan kisah hidupnya terutama dalam program realiti Oh Abang Kosmetik terbitan Astro.

Kata Aliff, beliau membeli empat bidang tanah lot banglo pada 2015 dan proses pembinaan bermula setahun selepas itu. Ia dijangka siap sepenuhnya menjelang sambutan Aidilfitri akan datang.

“Sekarang baru 80 peratus sahaja siap. Ruang bawah tanah merupakan bahagian terakhir untuk disiapkan. Saya robohkan empat buah banglo yang dibeli untuk bina semula mahligai ini.

“Secara keseluruhannya, terdapat 30 buah bilik merangkumi bilik tidur, bilik rehat keluarga, bilik mandi, bilik pakaian, ruang makan, ruang santai, ruang pejabat, ruang tamu, dapur dan sebagainya,” kata beliau sambil memberitahu ilham dekorasi rumah diperoleh daripada bacaan pelbagai majalah hiasan dalaman.

Dalam pada itu, Aliff Syukri turut memaklumkan beliau mendapatkan kelengkapan rumah termasuk bahan binaan dari empat negara iaitu China, Indonesia, Portugal dan Itali.

 

Lihat Komen
ADS