Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Raja Bahrin, Noryn Aziz cari jalan damai dengan sulh
Diterbitkan:  Apr 4, 2018 9:55 PM
Dikemaskini: 2:04 PM

Anggota Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad dan isterinya penyanyi Noryn Aziz sedang melalui proses Sulh di Mahkamah Syariah Kuala Terengganu.

Proses berkenaan biasanya dilakukan oleh pasangan suami isteri yang berselisih untuk mencapai perdamaian.

Dalam satu kenyataan hari ini, Raja Bahrin berkata beliau tampil menjelaskan perkara itu bagi mengelak spekulasi.

“Walaupun pada asalnya saya tidak berhajat membuat apa-apa kenyataan mengenai isu ini, tetapi bagi menjelaskan keadaan sebenar dan mengelakkan berbagai spekulasi dan andaian, adalah lebih wajar kenyataan ini dikeluarkan.

“Bagi menjawap pertanyaan tentang kehadhiran kami di Mahkamah Syariah, setelah saya mempertimbangkan sedalam dalamnya dan berikhtiar cuba menyelesaikan situasi rumah tangga kami, saya telah mengambil keputusan mengemukakan kes perkhawinan kami kepada Mahkamah Syariah.

“Saya telah memilih untuk merakamkan pendirian tertentu saya dalam situasi yang kami hadapi dan membawa isu berkenaan ke Mahkamah Syariah untuk sesi majlis sulh. Kes ini telah berada di peringkat sulh yang baru selesai diadakan sesi pertamanya," katanya.

Raja Bahrin menambah, tindakan itu adalah jalan terbaik bagi cuba mengatasi isu rumahtangganya dengan cara yang setertib mungkin.

“Saya berdoa semoga satu penyelesaian yang baik dapat di capai dalam isu rumah tangga kami ini.

"Saya dengan rendah diri juga memohon semua pihak menghormati privacy kami dalam masa kami menghadapi situasi serta suasana semasa kes kami berada di Mahkamah Syariah. Semoga satu penyelesaiaan secara terbaik boleh dicapai.

“Kepada mereka yang mengambil berat ehwal kami dan juga anak kami yang masih kecil, saya ucapkan setinggi tinggi terima kasih dan penghargaan. InsyaAllah saya akan memaklumkan kepada pihak media akan apa apa perkembangan selanjutnya,” katanya.

Raja Bahrin dan Noryn atau nama sebenarnya Norazmahwati Abd Aziz diijabkabul pada 22 Januari 2010 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki Raja Bariq Umar Shah yang kini berusia 4 tahun.

Lihat Komen
ADS