Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Umie Aida menafikan Diana Dahlan yang dilakonkannya dalam filem Dukun dihidupkan daripada individu tertentu, sama ada orang itu masih hidup atau sudah meninggal dunia.

Sebaliknya Umie berkata, karakter itu tercipta daripada ilham yang hadir selepas dia ‘berkawan’ dengan seekor ular selama dua bulan.

“Watak Diana Dahlan direka daripada seekor ular yang saya bela. Tetapi jika ada pihak mahu mengaitkannya dengan mana-mana individu, terpulanglah,” katanya yang ditemui pada sesi pratonton filem Dukun di Kuala Lumpur semalam.

Umie atau nama sebenarnya Umi Khalsum Rahmad Ali, 45, berkata dia sebenarnya memang seorang penggeli dan takut dengan reptilia berkenaan.

Namun demi Dukun dia melawan fobia itu demi menjiwai watak seorang perempuan pengamal ilmu hitam.

“Saya kaji pergerakan ular berkenaan malah tidur bersamanya,” kata Umie.

Menggigil di Penjara Pudu

Filem arahan Dain Said dan terbitan Astro Shaw itu bakal menjengah hampir 100 pawagam tempatan dan di Singapura esok selepas 12 tahun tertangguh.

Sebelum ini terdapat pelbagai spekulasi mengaitkan jalan cerita Dukun itu dengan kes bunuh berprofil tinggi yang melibatkan Datuk Mazlan Idris dan Mona Fandey.

Bagaimanapun, pada sidang media kali ini selain Umie, pihak Astro turut menafikan dakwaan bahawa Dukun merupakan karya yang diadaptasi daripada mana-mana kisah benar.

Sebaliknya kata mereka ia menceritakan kisah seorang peguam bernama Karim - watak dilakonkan Faizal Hussein - yang berusaha sedaya upaya untuk mencari anaknya Nadia.

Dalam pencarian itu, dia bertemu Diana dan sanggup berkhidmat sebagai peguam bela untuk wanita terbabit yang berdepan tuduhan membunuh seorang ahli perniagaan, Datuk Jeffri.

Dukun turut diterajui Nam Ron, Bront Palarae, Hasnol Rahmat, Sofi Jikan, Elyana dan Nadiya Nissa.

Aktres yang pernah menggondol beberapa anugerah Pelakon Wanita Terbaik itu turut mendedahkan pernah berdepan ‘gangguan’ sewaktu menjalani penggambaran filem Dukun di Penjara Pudu hingga badannya menggigil-gigil selain mengalami sesak nafas.

Amalkan zikir

Berkongsi lanjut kisah itu, kata adik kepada pelakon dan pengarah Erma Fatima itu berkata dia cuma “terleka” sesaat apabila berjalan bersendirian di lokasi kejadian dan pada kebetulan sedang datang haid.

“Saya sengaja hendak berjalan-jalan sambil cuba mengambil angin di sekitar sel banduan dan berhenti pada bilik terakhir.

"Tiba-tiba timbul persoalan di fikiran bagaimanakah perasaan yang dirasai setiap banduan sewaktu kali terakhir mereka hidup.

“Tidak sampai sesaat, badan saya terus menggigil, dan kemudian tidak boleh bernafas. Saya terus berlari ke kawasan parkir di luar dan menangis seorang diri. Masa itu langsung tidak mampu bercakap dengan sesiapa pun. Pengalaman itu...astagfirullah...” katanya.

Pun begitu, Umie mengaku pada kebiasaannya dia tidak pernah lupa untuk mengamalkan zikir dan amalan itu dipraktikkan sebelum dan selepas melakukan penggambaran.

“Kalau cerita seperti ini, memang saya akan melangkah masuk ke set dengan surah al-Fatihah setiap hari. Janganlah kita leka walau sesaat.

"Bayangkanlah kadang-kadang waktu memulakan penggambaran ada kalanya pada jam 4 atau 5 pagi,” katanya.

Lihat Komen
ADS