Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Astro Shaw menafikan filem terbitannya Dukun yang muncul di panggung wayang selepas 12 tahun disiapkan akan memberi pengaruh buruk kepada kanak-kanak.

“Habis filem rempit atau gangster tidak bawa pengaruh buruk? Ini adalah hiburan.

“Kami telah ikut budi bicara Lembaga Penapis Filem (LPF).

“Apa jua saranan diberikan oleh pihak mereka kami terima dan hormat,” kata Naib Presiden Astro Shaw Najwa Abu Bakar.

Dukun arahan Dain Said ditayangkan di hampir 100 pawagam termasuk Malaysia dan Brunei dengan klasifikasi P13 (kanak-kanak bawah 13 tahun dibenarkan dengan bimbingan ibu bapa).

Najwa berkata demikian setelah terdapat dakwaan Dukun boleh membawa pengaruh buruk selain merosakkan akidah masyarakat terutama kanak-kanak walaupun dengan bimbingan orang dewasa.

Kebimbangan itu sebelum ini ditimbulkan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Bertembung dengan Qhaliq: 'Urusan kami telus'

Sementara itu, berkaitan tarikh tayangannya yang bertembung dengan filem Qhaliq Edaran AIFA Motion Pictures Sdn Bhd milik Ahmad Idham, Najwa berkata urusan mereka dengan pempamer dijalankan secara telus.

“Tidak mandatori bagi sesebuah penerbit filem tempatan untuk melalui syarat wajib tayang. Kami ambil keputusan untuk berunding terus dengan pawagam.

“Apabila kami menghuraikan pelan promosi ternyata pihak pempamer begitu teruja. Dari situ kami mula berbincang mengenai tarikh tayangan Dukun,” katanya ketika ditemui pada sidang majlis pra-tonton Dukun di Kuala Lumpur semalam.

Pertembungan tarikh itu sebelum ini ditimbulkan pengarah dan penerbit Ahmad Idham yang mempersoalkan kemasukan Dukun ke panggung wayang di saat-saat akhir.

“Kenapa filem Dukun masuk pada saat akhir tanpa pemberitahuan yang nyata kepada penerbit lain. Ia juga tanpa melalui syarat wajib tayang seperti penerbit lain.

“Kita tak ada isu takut bersaing tapi filem ini datang cara tak biasa dalam industri, sebab kita tahu filem yang masuk mengikut saluran betul, kita pergi Lembaga Penapis Filem, ada syarat wajib tayang dan penentu.

“Dari situ akan diberitahu dalam mesyuarat Jawatan kuasa Syarat Wajib Tayang," katanya.

Sebelum ini terdapat pelbagai spekulasi mengaitkan jalan cerita Dukun dengan kes bunuh berprofil tinggi melibatkan Datuk Mazlan Idris di tangan Mona Fandey.

Bagaimanapun, Astro menafikan dakwaan itu.

Lihat Komen
ADS