Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pengunduran Qhaliq demi pelihara agenda kempen

Syarikat pengedar filem AIFA Motion Pictures Sdn Bhd menegaskan keputusan mereka mengundurkan Qhaliq daripada tayangan yang sepatutnya dijadual bermula semalam adalah bagi mengelak kempen yang selari dengan filem berkenaan terjejas akibat naskhah komersial.

Pemiliknya, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, 44, juga menafikan dakwaan kononnya mereka gentar dengan cabaran filem yang ditayangkan pada hari sama.

Sebaliknya Ahmad Idham menjelaskan Qhaliq membawa bersama agenda nasional yang perlu dipelihara bersempena Kempen Kesedaran Keselamatan Kebakaran.

“Filem ini adalah satu daripada komponen bersama bomba, justeru kami tidak mahu merosakkan kempen yang menerap kesedaran untuk menghadapi kebakaran.

“Selain itu lambakan dua filem tempatan pada satu-satu masa akan mendatangkan kerugian sama ada salah satu pihak, atau kedua-dua pihak,” katanya yang turut berlakon dalam Qhaliq.

Ahmad Idham ditemui pada sidang media penarikan balik Qhaliq di pawagam di Kuala Lumpur semalam.

Hadir sama pada sidang media itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman @ Husaini dan penerbit eksekutif Qhaliq, Hafiz Fauzi.

Qhaliq menerusi Syarat Wajib Tayang mendapat tarikh tontonan yang sama dengan filem kontroversi Dukun terbitan Astro Shaw.

Justeru, bagi mengelak konfrontasi lebih besar seperti persaingan yang boleh menyebabkan Qhaliq ditarik daripada panggung tidak sampai seminggu, pihak penerbit Ohhsem Network Sdn Bhd dan Ahmad Idham sebulat suara memberi laluan kepada filem yang diperam selama 12 tahun itu.

Elak penonton berpecah

Penarikan tayangan Qhaliq daripada pawagam secara rasmi disahkan melalui surat bertarikh 4 April oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional dan Syarat Wajib Tayang.

Sehubungan itu, Ahmad Idham memaklumkan pihaknya menyasarkan Qhaliq mendapat tarikh tayangan baru selewat-lewatnya pada Jun depan bersempena sambutan Aidilfitri.

Pun begitu, katanya, disebabkan kebanyakan daripada jelajah promosi program termasuk tayangan perdana sudah dijalankan, Ahmad Idham berasakan tidak wajar ia ditangguh-tangguhkan lebih lama bagi mengelakkan penurunan momentum dalam kempen.

“Kami akan berbincang dan meminta budi bicara Finas untuk mempercepatkan tarikh iaitu pada minggu terakhir bulan ini sekiranya tiada filem tempatan lain berada dalam jadual Syarat Wajib Tayang,” katanya.

Sementara itu, Khirudin menyifatkan, penarikan Qhaliq sebagai tepat pada masanya kerana pertembungan dua filem serentak menyebabkan perpecahan penonton,” katanya.

Khirudin berkata, pihaknya amat menggalakkan penonton datang beramai-ramai menyaksikan Qhaliq kerana percaya dengan keistimewaan terdapat pada filem arahan Rosli Mohd Taib itu.

Beliau turut akui Jabatan Bomba dan Penyelamat memberi kerjasama penuh dari segi teknikal dan khidmat nasihat kepada filem terbabit.

“Filem ini bukan saja dapat memartabat kerjaya bomba tetapi turut membuka mata masyarakat terhadap bahaya kebakaran.

“Kami ambil peluang ini untuk menembusi masyarakat tentang keselamatan kerana tahu ia akan memberi impak tinggi,” katanya.

Qhaliq diterajui pelakon Hairul Azreen. Selain itu, ia turut dijayakan pelakon Nur Risteena Munim, Syainie Aida dan Aliff Yasraff.

Ia berkisahkan Qhaliq bercita-cita menjadi seorang anggota bomba tetapi hasratnya itu mendapat tentangan hebat dari keluarganya.

Lihat Komen
ADS