Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Nama Boy Iman kembali mencuri perhatian selepas sebuah kenyataan rasmi mula beredar di Internet mengenai status selebriti kontroversi itu yang kononnya menjadi calon doktor falsafah di Universiti Malaya (UM).

Melalui semakan dijalankan, pihak Universiti Malaya (UM) bagaimanapun mengesahkan Boy Iman atau nama sebenarnya Noruliman A Rahman bukan calon doktor falsah di pusat pengajian itu.

“Universiti Malaya ingin menarik perhatian umum berhubung status pendaftaran calon doktor falsafah Noruliman A Rahman dalam bidang Pentadbiran Perniagaan (secara penyelidikan).

“Pihak UM telah membuat semakan dan mengesahkan bahawa tiada pendaftaran atas nama individu ini sebagai calon doktor falsafah di UM,” menurut UM dalam satu kenyataan.

Semakan rekod itu dipercayai dibuat gara-gara Boy Iman pernah memuat naik status di Instagram yang memaparkan gambar kad pelajar di pusat pengajian berkenaan pada 30 Mac lalu.

“Buat mereka yang bergelar pakcik bawang dan makcik bawang… hadiah untuk anda,” katanya.

Imej berkenaan turut dimuat naik dengan tanda pagar antaranya #dapatdatopunsusahdapatdoktorpunsalah, #malasnaklayan, dan #doktorfalsafah.

Bagaimanapun, status berkenaan kini didapati sudah dipadam.

Sementara itu, ketika diminta memberi penjelasan berhubung perkara berkenaan, Boy Iman hanya memberi jawaban ringkas.

“Saya tiada apa hendak dikomen, malas nak layan tetapi biarlah masa yang menentukan segala tindak tanduk yang dilakukan,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini sebentar tadi.

Bagaimanapun, Boy Iman membayangkan, dia terpanggil untuk berbuat sesuatu demi memastikan filem terbitannya Blok 404 yang bakal menjengah pawagam 28 Jun nanti menerima sambutan ramai.

“Akaun Instagram itu sudah lama sunyi sepi saja. Saya ingin mencetuskan sesuatu yang boleh menarik perhatian ramai,” katanya.

Terdahulu, Boy Iman pernah direman beberapa kali bagi membantu siasatan berhubung kes dakwaan penipuan projek pembinaan dan jualan rumah bernilai RM6.2 juta.

Sejak kes itu dipaparkan di dada media, nama Boy Iman sentiasa meniti di bibir umum.

“Saya kini seperti pelakon Fattah Amin, pening juga kerana ke mana-mana saja pergi pasti akan ada yang ingin merakam gambar swafoto bersama-sama,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS