Aiman Tino: Tubuh syarikat bukan sebab nak kaya
Di usia 19 tahun, Aiman Tino sudah bergelar pengarah urusan sebuah syarikat yang ditubuhkan Disember tahun lalu.
Bagaimanapun, kata penyanyi remaja popular, beliau menubuhkan syarikat minuman berasaskan ramuan semula jadi bukan untuk menjadi kaya raya.
"Penubuhan syarikat ini bukan bertujuan untuk saya jadi kaya, tetapi matlamat utamanya untuk buat kerja-kerja kebajikan kerana saya akan sumbangkan satu ringgit daripada setiap pembelian kepada rumah orang-orang tua atau anak yatim," beliau dilapor sebagai berkata.
Memetik Harian Metro, Aiman mengakui berada pada kedudukan tinggi dalam carta organisasi seperti itu memerlukan dia memastikan syarikat berjalan teratur.
"Agak mencabar apabila bergelar pengarah urusan pada usia semuda ini. Syarikat kini mempunyai hampir 50 pekerja dan modal yang dikeluarkan milik saya sepenuhnya.
"Untuk mengeluarkan sesuatu produk perlu ada modal dan perancangan. Ia bukan satu perkara mudah kerana selepas minuman, saya ada perancangan nak keluarkan jenama pakaian, produk kecantikan dan aksesori.
"Individu yang akan mengendalikannya juga sudah dikenal pasti. Namun dalam masa sama, saya beruntung kerana mempunyai ibu bapa yang akan membantu sebagai tempat rujukan," katanya.
Aiman mendedahkan pernah menceburkan diri dalam perniagaan char kway teow di Dataran Kuala Kubu Baru, Selangor.
"Ketika di bangku persekolahan, saya tidak pernah terfikir nak jadi penyanyi. Banyak masa saya dihabiskan dengan membantu ayah menguruskan kedai makan.
"Dia tengok komitmen saya bagus dan akhirnya keluarkan modal untuk saya buat char kway teow. Untung ruginya, saya kendalikan sendiri. tetapi dalam sehari saya berjaya dapat mencapai jualan RM500 ke atas.
"Apabila saya berumur 18 tahun dan bergelar artis, barulah saya pulangkan perniagaan ini kepada ayah kerana jadual saya sangat padat," katanya.

