Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Dinsman serius ajak Dr M, pemimpin HARAPAN bertemu
Diterbitkan:  Apr 16, 2018 4:35 PM
Dikemaskini: 9:28 AM

Presiden Seniman Paksi Rakyat Malaysia (Paksi) Dinsman tidak main-main apabila mengajak pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) bertemu sekumpulan seniman dan budayawan dalam sebuah program pada 26 hingga 27 April ini.

Jemputan tersebut dibuatnya kepada Pengerusi HARAPAN, Tun Dr Mahathir Mohamad, presidennya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail serta timbalan pengerusi, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu.

"Bila saya keluarkan status ajak Mahathir, Wan Azizah, Guan Eng dan Mat Sabu jumpa sekumpulan seniman-budayawan yang berkumpul di Kuala Kubu Bharu pada 26-27 April ini, ramai orang ingat saya main-main - tak serius.

"Saya serius sebenarnya. Saya dan kawan-kawan sangat serius menjemput mereka," katanya menerusi coretan di laman sosial Facebook.

Dinsman berkata kumpulan berkenaan akan berkumpul selama dua hari dalam program 'Bicara Seni dan Negara' di Kuala Kubu Bharu sebelum bertolak ke Kuala Kangsar bagi menghadiri satu program lain.

"Jadi para pimpinan utama parti-parti politik berkenaan silalah datang bila-bila masa saja dalam tempoh waktu itu.

"Tengah malam pukul 3 pagi pun boleh. Kami sedia menunggu dan menyambut. Boleh saja hubungi YB Lee Kee Hiong, sahabat baik kami yang ADUN di situ kalau ada sebarang keraguan," kata pemilik nama penuh Che Shamsuddin Othman itu.

Dr M pernah menangis dengar puisi

Dinsman merupakan seorang penulis sastera dan seorang dramatis, meskipun dia juga sering dirujuk sebagai seorang penyair.

Anak kelahiran Alor Setar itu juga dikenali sebagai seorang penggiat teater yang aktif.

Selain menulis drama, puisi, cerpen dan esei seni budaya, Dinsman juga merupakan penulis buku politik. Salah satu buku politiknya berjudul 'Gagalnya Formula Mahathir' yang ditulis pada 1998.

Dua buah buku puisinya yang terkenal ialah Puisi Panjang Untuk Mahathir pada 1977 dan Macam Orang Gila yang ditulis pada 2001 ketika sedang berlakunya gelombang reformasi susulan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.

Dalam coretannya Dinsman mengimbas kembali sewaktu kempen pilihan raya umum 1982 apabila Dr Mahathir yang ketika itu baru dilantik sebagai perdana menteri sempat meluangkan masa menghadiri acara baca puisinya di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

"Dulu, di ambang pilihan raya Umum 1982, dalam kesibukannya berkempen, Dr Mahathir boleh luangkan waktu berharganya, hadir acara puisi saya di DBP.

"Dan dia menangis kerana terharu. Apakah sekarang tak boleh?" soalnya.

Menurut Dinsman, dia tidak tahu kepada siapa harus dipanjangkan agar hasratnya untuk menemui pemimpin HARAPAN itu menjadi kenyataan.

"Saya tak tahu apakah mesej ini sampai kepada mereka. Harap-harap sampailah, walau dengan apa cara pun.

"Atau ada sesiapa boleh tolong sampaikan? Boleh?" soalnya.

Lihat Komen
ADS