Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Pelakon dan penyanyi Maya Karin mendedahkan pernah mengalami peristiwa buruk berdepan seorang pembuli siber apabila individu terbabit mengugut dan mengancam keselamatan diri dan keluarganya.

Kejadian itu kata Maya berlaku sekitar Ogos tahun lalu dan ia berlarutan hingga tiga bulan sebelum dia mengambil keputusan membuat laporan polis kerana melihat situasi berkenaan semakin membimbangkan.

“Semua orang mempunyai media sosial dan ada di antara kita yang hanya seminggu sekali memuat naik status tetapi ia tidak bermaksud boleh terlepas daripada menjadi mangsa buli siber.

“Ini terjadi kepada saya apabila ada individu yang bukan saja mengancam diri ini tetapi dia berusaha mencari nama keluarga dan saudara yang lain hingga di Jerman sebelum mengugut untuk melakukan sesuatu secara fizikal.

“Selepas berunding dengan adik saya yang juga seorang peguam, saya membuat laporan polis bagi mengelak perkara tidak diingini daripada berlaku,” katanya.

Maya, 38 ditemui pada sidang media pelancaran kempen Akhiri Buli Siber dan Penyebaran Maklumat Palsu di Kuala Lumpur hari ini.

Kempen bertemakan "Sebar Fakta Bukan Dusta" dan "Aku Bersamamu" itu mendapat sokongan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bertujuan untuk mendidik masyarakat tentang hak-hak melindungi diri daripada buli siber dan penyebaran maklumat palsu.

Selain Maya, beberapa selebriti tempatan turut menjayakan kempen berkenaan iaitu Awal Ashaari, Shca Alyahya, Caprice, Joe Flizzow, Ilaa Damia, Kavitha Sidhu, Jane Teoh, Shahrol Shiro, Nora Danish, Maya Karin dan Adibah Noor.

Pemenang anugerah Wanita Terbaik dalam Festival Filem Malaysia itu berkata, susulan daripada laporan yang dibuat, individu yang membuat gangguan itu diberkas di Melaka sebelum ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan.

Lebih mengejutkan, kata pemenang Anugerah Wanita Terbaik Festival Filem Asia Pasifik, individu yang membuat ancaman itu sudah berkahwin dan mempunyai cahaya mata.

“Saya memang tidak tahu apa tujuan dia berbuat demikian. Saya tidak pernah bermusuh dengan sesiapa apatah lagi membalas komen atau sebarang kecaman diberikan.

“Mungkin sekadar mencari perhatian. Dia dibebaskan selepas mahkamah menjatuhkan hukuman denda terhadapnya.

“Bagaimanapun selepas dibebaskan, wanita terbabit masih meneruskan apa dibuatnya sebelum itu, tetapi ia kemudian beransur-ansur senyap,” katanya.

Maya berharap, detik hitam yang sudah berlalu dalam hidupnya itu boleh memberi pengajaran kepada orang ramai agar mereka mampu menjadi seseorang yang lebih prihatin dan dapat memanfaatkan penggunaan media sosial.

“Kempen ini adalah sebagai permulaan untuk mendidik dan menangani ancaman buli siber sebelum isu berkenaan semakin merebak dan parah di masa depan,” katanya.

Lihat Komen
ADS