Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Haramkan juga orang lebih 60 tahun saksi pertunjukan fesyen'
Diterbitkan:  Apr 18, 2018 1:23 PM
Dikemaskini: 5:33 AM

Gara-gara pandangan diutarakan seorang pengkritik fesyen yang dianggap melukakan perasaan orang berbadan besar, ramai kalangan selebriti tanah air memberikan reaksi.

Seorang daripada mereka ialah Harith Iskander.

Berbanding komen lain, pandangan diberikan juara pertandingan lawak sedunia pada 2016 itu menarik perhatian ramai kerana dia membidas dengan penuh sinikal.

“Saya bersetuju sepenuhnya! Bukan saja patut larang mereka yang mempunyai berat badan melebihi 60kg daripada menghadiri pertunjukan fesyen, tetapi kita harus mengharamkan mereka yang berusia lebih 60 tahun juga,” katanya di media sosial.

Menurut Harith, larangan itu bertujuan untuk menghindari daripada sebarang kejadian tidak diingini.

“Lagipun anda terlalu tua untuk dunia fesyen. Malah saya tidak akan membenarkan orang yang kelihatan seperti 60 tahun daripada menghadiri pertunjukan itu juga.

“Hanya untuk keselamatan. Ini termasuk pereka fesyen... dan pengkritik,” katanya yang turut menyertakan status berkenaan dengan tanda pagar #Over60StayAway.

Baru-baru ini tular komen dibuat seorang pengkritik fesyen yang melontarkan kata-kata dianggap tidak sepatutnya dibuat terhadap mana-mana individu yang bertubuh gempal.

Katanya, golongan mengalami masalah berat badan berlebihan tidak wajar menghadiri pertunjukan fesyen kerana ia hanya akan mengakibatkan tetamu lain berasa “tidak selesa.”

“Kalau berat badan melebihi 60kg, tidak payahlah datang, sebabnya paha awak itu melimpah di kerusi sebelah kiri dan kanan awak.

“Ianya amat janggal dan tidak memberi keselesaan untuk orang yang duduk bersebelahan kamu,” katanya.

Diam lebih baik

Selain Harith, beberapa selebriti lain turut menyuarakan pendapat mereka, antaranya Wan Aishah Wan Ariffin, Enot, Syanie dan pereka fesyen Alvin Thoo serta Tom Abang Saufi.

Menurut Syanie, dia begitu terkilan dengan penghinaan sedemikian kerana dia juga seorang wanita yang mempunyai tubuh seperti diperkatakan.

Katanya, selama ini dia memandang tinggi terhadap pereka fesyen berkenaan yang kredibilitinya tidak perlu diragui dalam bidang diceburi.

“Rasa terpanggil untuk bersuara... terkejut dan terkilan membaca apa yang telah dikatakan. Saya sentiasa menghormati kamu, bukan sebagai seorang lebih berusia tetapi manusia.

“Namun apa diucapkan dalam kapsyen itu tidak sopan terhadap individu seperti saya dan golongan yang berada dalam kategori #plussize.

“Ada pendapat menyatakan, jika kita tak ada apa-apa perkara baik untuk diperkatakan, lebih baik diam saja. Kamu sepatutnya menyimpan apa yang difikirkan untuk diri sendiri... sekali lagi... bagaimana kamu sanggup berfikiran begitu?

"Setakat ini, belum pernah kami berdepan dengan isu berat badan. Kami sering berkongsi minat dan karya dalam kerjaya," tulisnya.

Lihat Komen
ADS