Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Tiada lagi KRU selepas 25 tahun
Diterbitkan:  Apr 18, 2018 6:15 PM
Dikemaskini: 11:03 AM

Selepas 25 tahun jatuh bangun dalam industri, tiga beradik yang popular sekitar 1990-an sebagai anggota KRU, Datuk Norman, Yusry dan Edry mengumumkan bakal membubarkan kumpulan itu.

Menjelaskan lebih lanjut, Yusry berkata, KRU akan dibubarkan pada malam terakhir Konsert Gergasi 25 KRU pada 6 Mei depan.

Katanya, konsert berkenaan adalah hadiah terakhir KRU buat peminat sebelum mereka mengucapkan selamat tinggal kepada dunia muzik tempatan buat selama-lamanya.

“Kami rangkumkan 25 tahun penglibatan kami dalam industri dengan konsert terakhir ini. Kami akan membubarkan KRU pada malam terakhir konsert itu,” katanya seperti dilapor Utusan Online.

Sehubungan itu, kata Yusry, sebagai mengenang jasa peminat yang menyokong karier mereka selama lebih dua dekad dalam industri, sebuah single bakal dilancarkan sebagai kenang-kenangan.

“Kami juga akan melancarkan single baharu, Tahan Lama pada 30 April nanti sebagai lagu selamat tinggal,” katanya.

Sementara itu, Norman yang menahan sebak mengucapkan terima kasih kepada semua peminat dan pihak yang selama ini menyokong karier KRU.

Walaupun kumpulan itu dibubarkan, entiti KRU sebagai sebuah syarikat media dan hiburan masih dikekalkan serta akan meneruskan operasi seperti biasa.

Sepanjang bergiat aktif, KRU pernah menghasilkan lebih 10 album studio dengan antara lagu popular di corong-corong radio adalah Janji Tinggal Janji, Terhangat di Pasaran dan Jangan Lafazkan.

Lihat Komen
ADS