Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Anaknya diejek, Lan Solo: Tak sangka saya kuat

Penyanyi Lan Solo mengakui anaknya yang menghidapi masalah sumbing bibir menjadi bahan ejekan warga Internet sejak hari pertama dia memuat naik perkembangan puteri keempatnya itu di media sosial.

Menurut Lan, keadaan fizikal Nur Amna Quxandra yang menjadi bahan kutukan itu dilakukan golongan yang masih “budak-budak.”

“Memang ada yang mengeji, mengutuk wajah anak saya apabila kongsikan wajah dia di media sosial. Tak banyak, tapi ada.

“Namun, apabila diperiksa profil Instagram mereka, saya dapati yang berbuat demikian cuma budak-budak sekolah,” katanya.

Lan atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, 33, ditemui pada sidang media pelancaran single solo pertamanya yang berjudul Berpisah Tanpa Rela di Petaling Jaya, Selangor hari ini.

Bekas vokalis kumpulan Kristal itu berkata dia tidak berkecil hati.

Malah dia juga tidak mahu memperbesarkan hal berkenaan dan memberitahu hanya mahu membiarkan perkara berkenaan berlalu.

“Tidak sangka saya kuat pula berdepan hal sebegini,” katanya.

Dalam pada itu, Lan berkata, berbanding yang mengecam, sebenarnya terdapat banyak pihak mendekatinya kerana keterbukaannya dalam berkongsi masalah anak yang dihidapi.

“Sebenarnya terdapat 90 peratus pihak yang memuji kerana saya tidak malu mendedahkan kecacatan anak dan memberi sokongan.

"Mereka terdiri daripada ibu bapa dan persatuan-persatuan yang menguruskan anak-anak istimewa ini.

“Mereka memberi galakan dan nasihat untuk saya dan isteri dalam menempuh dugaan dengan memberi mesej dan bertukar-tukar maklumat.

“Ada juga persatuan berkenaan yang membantu melancarkan urusan pendaftaran pembedahan anak saya yang bakal dilakukan hujung bulan depan,” katanya.

Lan berkahwin dengan Nur Sheila Hassim pada 6 Disember 2009. Selain Quxandra pasangan itu turut dikurnai tiga lagi cahaya mata iaitu Nur Amna Qaleesya, Nur Amna Qeesyara dan Muhammad Akid Qassyaf.

Lihat Komen
ADS