Seni & Hiburan Malaysiakini

Fashionvalet bakal disenarai di Bursa Malaysia

Bernama  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

FashionValet (FV), salah satu daripada platform e-dagang fesyen Asia Tenggara yang terkemuka akan disenaraikan di Bursa Malaysia.

Ketua Pegawai Kreatif, Vivy Yusof berkata rancangan untuk penyenaraian itu sudah ada dalam perancangan tetapi mengambil tempoh beberapa tahun sebelum direalisasikan.

"Sekarang ini, keutamaan kami adalah untuk mengekalkan serta meningkatkan keuntungan," katanya kepada Bernama.

Berikutan penutupan pelaburan Siri C dana kedaulatan Khazanah Nasional Bhd, Vivy berkata FV sedang merancang untuk mengembangkan lagi pasaran fizikal dan penembusan digital yang lebih luas.

FV baru-baru ini telah mengumpulkan satu jumlah yang tidak ditentukan daripada dana tersebut, yang akan dipakai untuk menaik taraf infrastruktur dan teknologi, membuka lebih banyak cawangan fizikal serta mengembangkan kehadiran syarikat berkenaan di Malaysia dan Asia Tenggara.

Ditubuhkan pada 2010, portal fesyen dalam talian itu sekarang menaungi 500 pereka Asia Tenggara dan memiliki pelanggan di seluruh dunia.

Ia mempunyai kedai-kedai fizikal di Malaysia (Pavilion dan Bangsar Village II), Singapura dan Brunei. Secara digital, ia berkhidmat untuk pelanggan di lebih daripada 15 buah negara, termasuk rantau Timur Tengah, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Australia.

Jenama Vivy sendiri, dUCk akan diserap masuk di bawah FV untuk penyenaraian akan datang.

"dUCk adalah satu jenama yang khusus dalam tudung, alat tulis, aksesori rumah, gaya hidup dan kosmetik," katanya lagi.

Peserta pasaran terbaru, dUCk Cosmetics merupakan jenama kosmetik halal yang ditawarkan dalam bentuk gincu, pengilat bibir dan pembayang mata yang berwarna-warni.

dUCk baru-baru ini telah membuka cawangan runcit ketiganya di Suria KLCC, bersebelahan dengan jenama-jenama antarabangsa mewah yang lain seperti Gucci, Dior dan Chanel.

Melangkah ke hadapan, beliau berkata dua cawangan dUCk akan dibuka di Singapura dan Dubai.

"Kami perlu membuat lebih banyak pemasaran di sana bagi memperkenalkan jenama kami kerana ia belum cukup dikenali. Kami berharap untuk membuka cawangan di Singapura pada tahun depan dan mengenai Dubai, kami masih membuat kajian pasaran," katanya.

Ketika bercakap mengenai jangkaan jualan bagi dUCk, Vivy berkata syarikat merancang untuk menggandakan apa yang mereka raih pada tahun lepas, terutamanya dengan pengenalan produk terbaru yang belum ada lagi pada tahun sebelum ini.

"Bagi produk terbaru kami iaitu kosmetik, kami telah bercakap dengan salah satu pengedar terbesar di dunia untuk dibawa ke peringkat seterusnya dan setakat ini, sambutan yang diterima amat positif. Pengumuman akan dibuat tidak lama lagi," katanya lagi.

-Bernama