Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Menara TM kini jadi pusat operasi Avengers?
Diterbitkan:  Apr 25, 2018 2:58 PM
Dikemaskini: 7:06 AM

Demam filem yang paling dinanti-nantikan selama 10 tahun Avengers: Infinity War turut ‘berjangkit’ ke Menara TM yang terletak di Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Memaparkan logo Avengers pada bahagian atas, kompleks setinggi 77 tingkat itu kini dilihat hampir menyerupai menara bertingkat yang muncul dalam filem dihasilkan Marvel Studios.

“Rahsia, Menara TM adalah Menara Stark, Marvel,” tulis status pada Facebook rasmi Unifi - satu daripada produk yang dihasilkan syarikat TM.

Unifi turut mengiringi gambar berkenaan dengan tanda pagar #MenaraTM #InfinityWar dan #WeAreAllSuperheroes.

Sementara itu rangkaian pawagam GSC Cinemas turut berkongsi gambar sama di media sosial rasmi mereka.

“Malaysia sudah bersedia untuk #InfinityWar,” tulis akaun Facebook berkenaan.

Menara Stark dibina dan dimiliki Tony Stark - watak alter ego kepada adiwira Iron Man - dan turut berfungsi sebagai Menara Avengers selepas pangkalan operasi asal dimusnahkan.

Bangunan dengan seni bina moden itu kononnya terletak di Manhattan, New York, AS.

Avengers: Infinity War adalah sekuel kepada filem The Avengers yang diterbitkan pada 2012 dan Avengers: Age Of Ultron (2015), ketiga-tiga filem berkenaan diedarkan Walt Disney Studios Motion Pictures.

Perkembangan filem itu bermula selepas kejayaan filem Iron Man (2008) dan 17 filem seterusnya selepas itu hingga mencapai kemuncak lalu terhasillah Avengers: Infinity War.

Filem aksi dengan klasifikasi P13 itu menemui peminat tempatan secara rasmi di layar perak di seluruh negara bermula hari ini.

Antara pelakon yang menjayakan filem berkenaan adalah Robert Downey Jr, Josh Brolin, Mark Ruffalo, Tom Hiddleston, Chris Evans, Chris Hemsworth, Jeremy Renner, Chris Pratt, Elizabeth Olsen, Benedict Cumberbatch, dan Karen Gillan.

Lihat Komen
ADS