Kim Kardashian bela suami selepas dikeji kerana puji Trump
Kim Kardashian mempertahankan suaminya, Kanye West, yang didakwa mengalami gangguan kesihatan mental ekoran menyatakan sokongan penuh ke atas Presiden AS, Donald Trump.
Personaliti televisyen itu mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan terbabit di media sosial selepas West menggelar Trump sebagai “abangnya.”
Malah Kim, 37, sebaliknya berkata, West hanya cuba menjadi dirinya sendiri.
“Kepada semua pihak yang cuba memburuk-burukkan suami saya, biar saya berkata begini: Komen anda terhadap West yang mendakwa kononnya dia tidak konsisten dan ciapannya membimbangkan sebenarnya adalah menakutkan,” kata pelakon program realiti Keeping Up with the Kardashians itu.
West sebelum itu mengemas kini akaun Twitternya dengan menciap mengenai perkembangan terbaru hal-hal berkaitan muzik, jenama pakaian diusahakannya dan penghargaan buat Trump.
Selain beberapa rentetan ciapan yang jelas menunjukkan dia sebagai penyokong Trump, West, 40, turut memuat naik sekeping imej topi berwarna merah.

Imej topi berwarna merah yang dimuat naik West itu mempunyai tanda tangan Trump.
Topi dengan moto Make American Great Again biasanya dihasilkan secara meluas untuk kegunaan penyokong Trump semasa berkempen untuk menawan Rumah Putih pada tahun lalu.
“Anda tidak perlu bersetuju dengan Trump, tetapi mentaliti orang ramai tidak boleh membuat saya tidak menyukai beliau. Beliau adalah abang saya.
“Saya sayang semua orang. Saya tidak setuju dengan apa saja orang lain buat. Inilah yang menjadikan kita individu. Dan kita mempunyai hak untuk berfikir bebas,” katanya.
Dan Trump membalas ciapan West: “Terima kasih Kanye, hebat betul!”
Obama gagal
Tanda sokongan West untuk Trump jelas tidak disukai ramai malah dia menerima pelbagai reaksi dan kecaman termasuk kononnya tidak waras.
Selebriti anti-Trump tidak melepaskan peluang untuk memberi respon yang menyelar tindakan West dan Kim. Antaranya penyanyi Macy Gray, Azealia Banks, Moby dan John Legend.
West dalam pada itu turut mengutuk presiden terdahulu, Barack Obama, kononnya gagal mengubah Chicago walaupun menjadi presiden selama lapan tahun.
Pada 2016, West yang juga penggubah lirik dan penerbit lagu itu pernah dimasukkan ke hospital dan terdapat laporan mendakwa dia ditahan di wad penilaian psiakiatri.
Bagaimanapun, Kim menegaskan, orang ramai tidak perlu bimbang dengan keadaan kesihatan mental suaminya yang dikahwini pada 2014 itu.
Ini adalah kali kedua ciapan dari Kanye mengundang kontoversi di Internet. Bapa kepada tiga anak itu baru kembali aktif di media sosial selepas menyepi buat sementara waktu.

