Juruhebah popular ditahan miliki pistol, 32 peluru hidup
Seorang juruhebah radio ditahan polis kerana memiliki senjata api ketika pemeriksaan Ops Cantas di KM28, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar, semalam.
Lelaki berusia 47 tahun itu didapati memiliki sepucuk pistol semiautomatik bersama dua kelopak, masing-masing berisi tujuh dan 25 butir peluru hidup.
Menurut laporan Sinar Harian semalam, anggota daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput pada mulanya menahan Toyota Wish yang dipandu lelaki itu kerana menggunakan lampu 'beacon', kira-kira pukul 8.30 pagi.
"Pemeriksaan terhadap pemandu mendapati di pinggangnya ada sepucuk pistol semi auto jenama Walther bersama satu kelopak berisi tujuh butir peluru hidup.
"Pemeriksaan lanjut dalam kereta menemui satu beg sandang yang diletakkan di tempat duduk penumpang hadapan yang mengandungi satu kelopak lagi bersama 25 peluru 9mm," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman seperti dipetik.
Katanya lagi, suspek dibawa ke IPD Sungai Siput untuk siasatan lanjut bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 atas kesalahan memiliki pistol tanpa lesen, dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 atas kesalahan memiliki peluru.

