Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

PRU14 | Calon bebas bagi kerusi dewan undangan negeri (DUN) Bukit Antarabangsa, Azwan Ali, hari ini sekali lagi membuat kemunculan berwarna-warni untuk meraikan pengundi di kawasan yang ditandinginya.

Dan tidak seperti calon-calon lain, kemunculan Azwan turut mendapat sokongan tidak langsung daripada salah satu parti yang ditentangnya, iaitu BN.

Kata Azwan, BN menyediakan khemah untuk program kemasyarakatan yang dijalankannya.

Dengan itu kata bekas pengacara Muzik-Muzik terbitan TV3 itu dia tidak perlu mengeluarkan belanja besar untuk menjamu penduduk di situ dengan bihun goreng hailam.

“Kos dikeluarkan untuk memberi sedekah bihun pada hari ini RM1,000 saja.

"Syukur kerana BN memudahkan kerja dengan membenarkan kami menggunakan khemah yang pernah digunakan mereka tanpa sebarang bayaran.

“Kalau tidak mungkin kos pada hari ini boleh mencecah hingga RM2,000,” katanya ketika ditemui hari ini di Ukay Perdana, Ampang Jaya, Selangor petang tadi.

Bukan berjiwa rakyat

Mengulas lanjut Azwan berkata apa yang terjadi pada hari ini adalah bukti wujudnya amalan politik matang dan ia wajar dicontohi calon lain, termasuk abangnya Datuk Seri Azmin Ali.

Untuk rekod Azmin turut bertanding bagi mempertahankan kerusi DUN Bukit Antarabangsa yang dimenanginya sejak 2008.

“Tidak luak pun BN bagi tumpang khemah mereka. Abang saya juga sepatutnya boleh bekerjasama dengan cara begini,” katanya.

Sesi petang tadi Azwan, 52, turut mendapat sokongan rakan-rakan artis dari Kelab Artis 90-an seperti Tushee, Azura Aziz, Taty dan Norlie Tamam yang sama-sama turun padang berkempen untuk pengacara yang bergelar Diva AA itu.

Pada acara itu, penduduk turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian daripada Tushee dan Azura Aziz.

Azwan akan bertanding menentang abangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin dan tiga calon lain dalam pertandingan lima penjuru kerusi DUN Bukit Antarabangsa.

Tiga calon lain itu ialah Ketua Salwa Yunus (BN) Syarifah Hazlizah Syed Ariffin (PAS) dan Ahmad Kamarudin (PRM).

Dalam pada itu, pemilik ijazah sarjana muda undang-undang dari Universiti Malaya itu berkata penduduk Bukit Ampang ramai mengeluh dan mengadu kerana tidak berpuas hati terhadap perkhidmatan Azmin sebagai wakil rakyat.

Katanya, Azmin bukan seorang bukan seorang pemimpin yang berjiwa rakyat kerana jarang sekali untuk melihat wajahnya melawat kawasan berkenaan.

“Mana Azmin? Tak nampak batang hidung. Kalau saya, lainlah, rakyat tidak marah kerana tidak propa.

“Saya kalau jadi pemimpin akan pergi rumah ke rumah untuk bertanyakan apa masalah dihadapi penduduk dan buat mereka gembira,” katanya.

Lihat Komen
ADS