Ogy dakwa SPR lembab sampai warga emas terabai
PRU14 | Pelakon Fauziah Ahmad Daud mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak cekap dalam mengendalikan proses pengundian di pusat mengundinya, sehingga membebankan segelintir warga emas.
Membuang undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Melawati, dia yang lebih mesra dipanggil Ogy itu berkata sejumlah petugas SPR di situ gagal mengambil langkah sewajarnya.
“Ya Allah punyalah lemau dan lembab, lama orang menunggu ada yang sampai nak pengsan depa tidak mahu buka barisan lain,” katanya. di Instagram.
Dia berharap SPR dapat belajar daripada kelemahan itu untuk menguruskan PRU akan datang dengan lebih baik.
"SPR tolong ya, pilihan lain kali tolong fokus. Kesian mereka yang berusia betul-betul sampai nak pitam dan segala macam lagi. berilah air atau (buat) apa yang patut.
"Yang penting kita (sebagai) rakyat Malaysia sudah buat tanggungjawab kita," katanya lagi.

Selain itu terdapat juga dakwaan proses yang perlahan menyebabkan ramai terpaksa beratur lama di saat waktu mengundi tamat iaitu pada pukul 5 petang.
Pengerusi SPR Datuk Seri Hashim Abdullah dalam wawancara bersama TV1 berkata waktu mengundi tidak akan dilanjutkan.
"Kami akan menutup bilik mengundi pada jam 5 petang," katanya sambil menambah ia untuk memberi laluan kepada proses pengiraan.
BERSIH pula menggesa mereka yang sudah beratur sebelum jam 5 petang tetapi belum mengundi untuk terus berada di sana dan mendesak petugas SPR membenarkan mereka membuang undi.

