Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Mawi: 'Lara Jiwa' ft Rosmah, jangan dipolitikkan
Diterbitkan:  May 14, 2018 8:31 PM
Dikemaskini: 12:38 PM

Penyanyi Mawi mengaku terkejut apabila sebuah klip video mempamerkan lagu duet nyanyiannya bersama Datin Seri Rosmah dihasilkan pada 2005 tiba-tiba menjadi tular selepas Pilihan Raya Umum ke-14 berakhir.

Walaupun tidak menjangkakan situasi itu, Mawi begitu maklum dengan sikap pengguna alam maya kerana sebagai seorang penyanyi pasti setiap tindak-tanduknya sebelum ini turut diambil kira.

“Saya faham negara ini baru menyaksikan berakhirnya PRU14, justeru apa saja aktiviti berkaitan artis yang membabitkan seseorang berpangkat suatu ketika dulu akan diteliti mereka termasuk lagu ini.

“Saya berharap walaupun lagu berkenaan menjadi viral dalam talian, ia tidak akan dipolitikkan atau pun disalah ertikan.

“Saya tidak ada masalah jika lagu ini ditularkan semula, cuma janganlah dipolitikkan atau disalah anggap. Kalau boleh jangan timbulkan cerita buruk. Bagi saya, kita wajar lihat ia dalam persepektif sederhana,” katanya.

Lagu ciptaan Pak Ngah, lirik Siso

Lagu dengan kualiti video rendah berdurasi 4.56 minit yang diberi judul Lara Jiwa itu dicipta oleh Pak Ngah manakala lirik digubah oleh Siso.

Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani diberi kepercayaan untuk menyanyikan lagu bersama seorang tokoh terkenal selepas diumumkan sebagai juara program realiti Akademi Fantasia musim ketiga (AF3).

Memetik The News Straight Times, penyanyi yang juga pelakon filem Jin Notti itu berkata bidang nyanyian adalah sumber pendapatannya bagi meneruskan kelangsungan hidup.

“Lagi pula, saya sebagai penyanyi dan punca pendapatan dalam bidang ini. Menerusi lagu ini, kali pertama saya bekerjasama dengan orang kenamaan selepas habis AF3," katanya.

Tabung bencana alam Kedah

Dalam pada itu, Mawi turut menafikan dia mempunyai kepentingan peribadi dalam mana-mana parti politik seperti didakwa segelintir pihak.

“Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa lagu berkenaan dirakam bagi menjayakan Tabung Persatuan Bencana Alam Negeri Kedah. Ia juga dijadikan sebagai tema kempen.

“Ini adalah sesuatu yang bagus, tetapi ada pihak yang telah mempolitikkan lagu itu dan pada masa sama menggunakan perkataan yang tidak wajar.

“Saya ingin menegaskan bahawa kita tidak perlu lupa kebaikan dilakukan oleh orang lain,” katanya.

Lihat Komen
ADS