Fasha dan Nora setuju hapuskan sengketa
Perseteruan antara Fasha Sandha dan Nora Danish berakhir selepas kedua-dua pelakon popular itu bersetuju untuk menyelesaikan pertikaian saman fitnah mereka secara baik di luar mahkamah.
Selepas Fasha mengemukakan permohonan maaf di depan hakim M Gunalan, Nora Danish bersetuju menarik balik saman fitnah yang dikemukakan ke atas Fasha dan syarikatnya dengan menuntut ganti rugi berjumlah RM20 juta.
Fasha membuat permohonan maaf berkenaan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 22 Mei lalu.
Peguam Datuk David Gurupatham berkata anak guamnya Nora Danish, menarik balik saman berkenaan dan kemudian hakim merekodkan penghakiman persetujuan berhubung penyelesaian kes, dalam kamar hakim.
Tambahnya, Fasha turut menyatakan aku janji untuk tidak menyiarkan sebarang kenyataan fitnah pada masa depan.
Untuk rekod, Fasha dan Nora kedua-duanya pernah berkahwin dengan Rizal Ashram Ramli atau Jejai.
Sementara itu, dalam kenyataan dibacakan di mahkamah, Fasha memohon maaf kerana menyiarkan kiriman yang menjadi subjek dalam kes tuntutan saman berkenaan di akaun Instagram miliknya pada 19 Ogos 2017.
Sempena bulan mulia
Katanya, status berkenaan didakwa memberi impak negattif kepada reputasi Nora Danish dan syarikatnya Danish Empire Sdn Bhd serta jenama Owl by ND.
“Walaupun saya tidak meletakkan nama sesiapa pun, saya percaya ramai beranggapan posting terbabit ditujukan kepada beliau.
“Saya kesal dengan apa yang terjadi dan selanjutnya memberi aku janji bahawa saya tidak lagi membuat penyiaran yang disifatkan memburukkan imej Nora, Danish Empire, Owl by ND dan keluarga terdekat Nora," katanya seperti dilapor BH Online.

Dalam prosiding itu, Fasha diwakili peguam Azmi Mohd Rais dan Nizam Bashir.
Dalam kenyataan medianya, Nora Danish berkata dia dan syarikatnya menentang Fasha bagi tindakan fitnah untuk tuntutan antara lain RM10 juta bagi setia plaintif.
Kata Nora, dia menerima permohonan maaf yang direkodkan di mahkamah bersama aku janji yang menghalang daripada sebarang penyebaran fitnah terhadap diri, syarikat dan keluarganya.
“Semua pihak sudah menyelesaikan perkara ini seperti tertera dalam penghakiman persetujuan di mahkamah.
“Sempena bulan mulia ini, saya memutuskan untuk membiarkan perkara ini berakhir seperti itu,” katanya.

