Janji Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, untuk menyiasat Perbadanan Pembangunan Filem Nasional (Finas) dan menyusun semula agensi itu menarik perhatian pelakon Sharifah Amani.

Melalui Twitter, Sharifah menciap pendapatnya berkaitan isu penyaluran dana yang dikendalikan perbadanan berkenaan sejak tahun lalu.

Walaupun langkah ini dianggap hanya sebagai suatu permulaan, Sharifah, 32, berharap lebih banyak kertas siasatan akan dibuka bagi menangani gejala rasuah yang dipercayai semakin membarah dalam industri hiburan tanah air.

“Ini hanya permulaan. Diharap selepas ini lebih banyak agensi dan institusi akan disiasat. Kami sudah bergelut kerana rasuah/rejim berat sebelah sejak sekian lama.

“Semoga keadilan dapat dilaksanakan, insyaAllah,” katanya.


Ketika ditemui wartawan sebelum ini, Gobind yang merupakan anggota parlimen Puchong berkata dia bakal melaksanakan penstrukturan semula dalam Finas terutama mengenai pengurusan kewangan perbadanan itu.

Menurut Gobind, tindakan diambil selepas menerima aduan terhadap pembuat filem yang menerima dana tetapi gagal menyiapkan projek mereka.

Katanya lagi, antara aduan lain termasuk peruntukan diterima tidak mencukupi.

Lawatannya ke pejabat Finas itu dibuat hampir seminggu selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat beberapa peruntukan perbadanan itu pada tahun 2017.

Gobind bagaimanapun enggan mendedahkan identiti individu yang dipanggil kerana bimbang akan menganggu siasatan dijalankan.

Dalam pada itu, Sharifah yang popular melalui filem Sepet dan Gubra itu juga berdoa agar segala urusan membaik pulih Finas dipermudahkan.

Dia memetik ciapan Gobind yang berkata mana-mana pihak yang didapati bersalah terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa dalam industri kreatif negara akan diambil tindakan.

"Semoga dipermudahkan," kata Sharifah.