Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Aizat hadiahkan Harapan Jadi Nyata buat Dr Mahathir

Kira-kira seminggu lagi sebelum Tun Dr Mahathir Mohamad meraikan hari lahirnya yang ke-93, Aizat Amdan tampil memberi sesuatu yang istimewa buat perdana menteri ketujuh Malaysia itu.

Mengambil inspirasi daripada perjuangan Dr Mahathir sejak 1981, Aizat mendedikasikan sebuah lagu untuk tokoh terbabit.

Melalui lagu berjudul Harapan Jadi Nyata Aizat berkata ia adalah kesinambungan kepada gerakan rakyat yang keluar mengundi menolak kepimpinan BN selama enam dekad pada pilihan raya umum (PRU), 9 Mei lalu.

Berkongsi lanjut mengenai Harapan Jadi Nyata, Aizat berkata, sebenarnya ada kisah istimewa di sebalik penghasilan lagu bergenre pop balada yang baru dirakamkan di studio Emil Berliner di Berlin, Jerman itu.

Kisah itu, dedah Aizat, bermula kira-kira tujuh tahun lalu.

“Apabila ayah mengetahui saya akan membuat persembahan untuk majlis hari lahir Dr Mahathir yang ke-86, dia begitu bersemangat untuk mengilhamkan lagu ini, hingga bertanyakan banyak perkara khususnya mengenai bahasa dan puisi kepada rakan-rakannya.

“Melalui lagu itu, ayah menzahirkan perasaan hormat dan kagumnya kepada Dr Mahathir yang juga idolanya selama ini.

“Saya juga masih ingat sewaktu berlangsung Majlis Gala Tun Dr Mahathir pada 2011 itu. Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, Datuk Seri Najib Razak dan Rosmah Mansor masih mesra, duduk semeja,” katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.

Elak pandangan negatif

Walaupun pernah mendendangkan Harapan Jadi Nyata buat pertama kali depan Dr Mahathir, Aizat berkata lagu berkenaan hanya dirakam kira-kira sebulan lalu, iaitu selepas PRU ke-14 berakhir.

“Sangat rugi jika saya tidak menghasilkan sebuah karya bagi mengenang jasa Dr Mahathir sempena kelahiran Malaysia baru, kita juga perlukan sesuatu sebagai pembakar semangat,” katanya.

Namun, ada sesuatu yang mendukacitakan Aizat. Bapanya Datuk Amdan Mat Din, kini agak uzur kerana mengalami strok pada bahagian kiri otak pada Okt tahun lalu, menyebabkan sebelah badannya lemah.

“Ini semua kebetulan, saya sedih kerana tidak tahu adakah ayah menyedari mengenai lagu ini atau tidak. Jika sihat mungkin dia merestui perkara ini (terbitkan lagu),” katanya.

Pun begitu, penyanyi Sampai Ke Hari Tua dan Lagu Kita itu tidaklah terdesak dengan mengidamkan Harapan Jadi Nyata menjadi tular.

Kata Aizat, 29, dia tidak mahu wujud persepsi negatif terhadap dirinya sehingga mengundang salah tafsir daripada orang ramai.

“Sedikit pun saya tidak berharap Harapan Jadi Nyata menjadi tular kerana mungkin umum akan menganggap saya sengaja ingin ‘mengipas’ Dr Mahathir. Tetapi, mulut orang kita tidak boleh nak tutup.

“Yang saya tahu, lagu berkenaan dicipta bagi menggambarkan situasi politik dalam negara dan Dr Mahathir memang tokoh yang layak untuk dihadiahkan lagu itu selepas berkhidmat untuk negara ini sejak sekian lama,” katanya.


Baca Aizat gubah lagu versi Hindi untuk ayah yang lumpuh


Pada masa sama, Aizat menegaskan dia tidak berhasrat untuk menceburkan diri dalam bidang politik meskipun selepas kemunculan Harapan Jadi Nyata.

“Saya hanya memberi sokongan dari segi kesenian. Biarlah ahli politik yang berceramah atau sebagainya.

"Saya cuma boleh buat muzik untuk menggerakkan hati rakyat agar mengagumi betapa hebatnya insan bernama Dr Mahathir,” katanya.

Dilancarkan di semua pelantar digital bermula hari ini, video muzik Harapan Jadi Nyata juga kini boleh ditonton di YouTube atau laman sesawang www.theaizatamdan.com.

Sementara itu, mengulas mengenai kemunculannya pada konsert Padi Reborn pada 30 Jun di KL Live Centre sebagai tetamu undangan, Aizat berkata, dia sudah bersedia untuk memberi persembahan dengan sebaik-baiknya.

Justeru, dia bakal mengadakan sesi latihan buat kali terakhir bersama kumpulan dari Indonesia itu yang dahulunya dikenali sebagai Padi di sebuah studio di Petaling Jaya malam ini.

“Berpeluang berkolaborasi dengan Padi Reborn adalah satu penghormatan besar untuk saya yang membesar dengan lagu-lagu kumpulan dari negara jiran itu.

“Saya berharap kolaborasi ini tidak akan berakhir di atas pentas esok dan tidak menolak jika diizinkan suatu hari nanti untuk menghasilkan lagu duet bersama mereka,” katanya.

Lihat Komen
ADS