Adam Shahz: Syarat geran Finas masih longgar
Dakwaan ketirisan berhubung pentadbiran dan kewangan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) boleh merosakkan agensi yang memacu aktiviti pengeluaran filem tempatan.
Justeru, pelakon yang popular melalui drama dan filem Juvana, Adam Shahz mencadangkan agar Finas melaksanakan kaedah baru prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan dana yang diberikan itu dimanfaatkan dengan cara yang betul.
Katanya melalui peraturan SOP baru itu kerajaan perlu meletakkan syarat tertentu sebelum sesuatu geran diberi.
Misalnya, kata Adam, jika ada pihak yang menerima geran bernilai RM1 juta mereka perlu memastikan jumlah kutipan tiket mestilah sekurang-kurangnya sama dengan jumlah bantuan kewangan yang diperolehi.
“Tetapi sekiranya jualan tiket terjual sebanyak RM500,000 saja, produksi dipertanggungjawabkan untuk membayar baki RM500,000 lagi.
“Ini saya guna macam konsep Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional. Jika tak buat begitu, duit akan hilang begitu saja, baru akan wujud rasa bertanggungjawab,” katanya kepada Malaysiakini.
Rasa bertanggungjawab
Adam berkata dia sebenarnya tidak bersetuju dengan syarat pemberian geran semasa yang dianggapnya longgar kerana ia mengakibatkan penerima bantuan terdedah kepada penghasilan produk kurang berkualiti.
Melalui syarat ditetapkan Finas sekarang, katanya, sesebuah produksi yang menerima geran cuma diwajibkan menyiapkan filem, justeru mereka tidak perlu mengembalikan apa-apa kepada pihak kerajaan.
“Ini menyebabkan berlaku penghasilan naskhah yang cuma disiapkan ala kadar.
“Malaysia baru perlu memajukan industri perfileman. Selama ini kita asyik cakap pasal kemajuan tetapi sebenarnya masih berada di takuk lama, tertinggal puluhan tahun berbanding negara jiran," katanya.

Untuk rekod, selain tampil sebagai pelakon, Adam, 38, itu juga boleh dilihat bergiat aktif di belakang tabir sebagai penolong pengarah selain pernah menghasilkan sebuah filem pendek untuk dipertandingkan dalam BMW Shorties.
Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat lawatan mengejut dan beberapa individu diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung beberapa peruntukan Finas untuk tahun 2017.
Pada masa sama, Pelakon Baru Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-28 itu, berkata, kerajaan dan orang ramai perlu sedar modal yang tinggi bukan semestinya menghasilkan filem yang baik, tetapi lebih utama adalah minat.
“Mengapa ada pengarah boleh hasilkan filem bajet tak besar tapi karya itu bagus dan boleh bertanding di luar negara?
“Sebab mereka mempunyai minat, pelakon dan produksi yang betul, semua memiliki tanggungjawab untuk memajukan dunia perfileman,” katanya.

