Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ogy bengang lihat orang terpekik-pekik depan mahkamah
Diterbitkan:  Jul 5, 2018 2:08 PM
â‹…
Dikemaskini: 6:24 AM

Personaliti terkenal dalam dunia hiburan, Ogy Ahmad Daud, menempelak tindakan segelintir penyokong Datuk Seri Najib Razak yang berteriak-teriak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur semalam.

Kata seniwati itu, ada perkara lain yang turut penting diperhatikan mereka sebelum melakukan provokasi sedemikian, iaitu mengenai adab.

“Satu dunia dok tengok weiii!!! Malu weiii!!!" katanya di Instagram.

Mengiringi kata-kata itu ialah petikan ringkas - tetapi pedas - dimuat naik anak pasangan Allahyarham Datuk Ahmad Daud dan Saadiah.

“Dok jerit hidup Melayu tapi adab Melayu tak dipraktikkan. Buat malulah wei sampai peguam negara cakap, lakukannya dengan cara yang bertamadun,” katanya.

Tidak dinyatakan secara jelas namun Ogy diyakini memberikan pandangannya terhadap detik bersejarah buat negara ini semalam apabila seorang bekas perdana menteri dihadapkan ke mahkamah untuk dihadapkan dengan tuduhan jenayah.

Najib yang dikaitkan dengan skandal 1MDB berdepan tiga tuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalah guna jawatannya dalam kes transaksi dana SRC International melibatkan dana berjumlah RM42 juta.

Rasa amat jijik

Beliau mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan. Hakim kemudian membenarkan dia diikat jamin sebanyak RM1 juta yang dibayar secara ansuran sebanyak dua kali oleh anaknya Mohd Norashman dan Nooryana Najwa.

Kekecohan berlaku di kawasan awam apabila Peguam Negara Tommy Thomas yang bertindak sebagai ketua pendakwa bersedia memberikan sidang media selepas proses berkenaan selesai dijalankan.

Malangnya, sekelompok orang awam mula menjerit “Melayulah woi” dan “Hidup Melayu” malah ada antara mereka mengecam Thomas kerana tidak bercakap menggunakan bahasa Melayu.

 

 

Satu Dunia Dok Tengok Weiii!!! Malu Weiii!!! 😡

A post shared by Fauziah Ahmad Daud (@kak_ogy) on

 

Kata Ogy, dia berasa kecewa kerana masih ada orang "tidak bertamadun" pada zaman sekarang dan menganggapnya sebagai sangat tidak wajar.

“Abad ke-21 dan kita masih mempunyai ramai orang tidak bertamadun. Amat menjijikkan.

"Pergi hadam kes dan dapatkan peguam bagus untuk jelaskan kes itu kepada kamu.

“Kenapa kamu semua tak boleh guna otak?” katanya yang memang terkenal selalu bersikap lantang dan 'laser'.

Hidup dalam teka-teki

Sementara itu, mengulas tangkapan dibuat ke atas Najib, pengarah dan pelakon Erma Fatima meluahkan harapan untuk melihat perbezaan politik antara rakyat yang sering mencetuskan perbalahan sejak sekian lama akan terhapus.

Malah katanya, sewaktu melihat penangkapan dilakukan, air matanya menitis dengan tidak semena-mena.

“Sebak kerana sekian lama aku menunggu saat ini, kerana jiwa aku makin sakit melihat bangsa aku berbalah antara satu sama lain.

“Mungkin kalian boleh mengatakan aku biadab kerana seolah berharap pada penangkapan ini.

“Silakan! Aku berharap penangkapan ini akan mengurangkan dosa kita semua. Dosa kita yang selama ini hidup di dalam teka teki...spekulasi demi spekulasi sendiri.. hari ini kita tidak perlu lagi berteka teki,” katanya juga melalui Instagram.

 

 

Airmata aku menitis tak pasal-pasal mlm ni. SEBAK kerana sekian lama aku menunggu saat ini. KERANA jiwa aku makin sakit melihat BANGSA aku berbalah antara satu sama lain..mungkin kalian boleh mengatakan aku BIADAB kerana seolah berharap pd penangkapan ini. Silakan! Aku BERHARAP penangkapan ini akn mengurangkan dosa kita semua. Dosa kita yg selama ini hidup di dalam teka teki...spekulasi demi spekulasi sendiri.. hari ini kita tdk perlu lagi berteka teki. Sejahat mana pun beliau...tercatat d dlm sejarah beliau lh yg pernah memimpin negara kita satu ketika dulu. Kita tk mampu memadam sejarah. Walaupun perit utk d lalui oleh keluarga DSN dan penyokong BN namun aku berharap disinilah berakhirnya segala fitnah memfitnah..tuduh menuduh..hina menghina...maki bermaki...dendam berdendam..dan segala macam mak nenek spekulasi kita kpd beliau. Saat ini akan menjadi saat bersejarah buat negara kita...saat yg bakal membuka mata seluruh rakyat dan pemimpin negara yg lain tanpa mengira parti politik..Aku hanya mampu berdoa agar Allah tunjukanlah KEBENARAN kpd kami semua.....KEBENARAN YG ADIL DAN SAKSAMA...KEBENARAN yg bakal MEMBUKA MATA RAKYAT! KEBENARAN itulah dariMU Ya Allah. Sy mohon kpd sahabat2 semua...Hentikanlah memperlekeh dan menghina beliau. Itu bukan budaya kita...biarkan undang2 menentukan segalanya. Sy percaya atas izin Allah PENANGKAPAN ini akan MEMBUKA SEGALA KEBENARANNYA...sy berkata kata bukan atas nama Barisan Nasional , UMNO, Pakatan Pas atau parti apa pun. Sy berkata-kata sebagai seorang MANUSIA kepada MANUSIA lain. Ampun dan Maaf dari sy wahai BANGSA ku yg ku kasihi... BILA KAU ADA SAHABAT YG MELAKUKAN KHILAF.. MAKA GENGGAMLAH TANGANNYA ERAT2 DAN TEGURLAH SEGALA KEKHILAFANNYA... ALLAH TELAH MENJANJIKAN KEBAHAGIAAN BUAT SESEORANG YG BERKASIH SAYANG SESAMA SAUDARA KERANA-NYA.

A post shared by Ermafatima (@ermafatima) on

Bagaimanapun Erma tetap tidak lupa mengingatkan tidak ada sesiapa dapat memadamkan sejarah bahawa Najib pernah memimpin negara ini.

"Walaupun perit untuk di lalui oleh keluarga DSN dan penyokong BN namun aku berharap di sinilah berakhirnya segala fitnah memfitnah, tuduh-menuduh, hina-menghina, maki-bermaki, dendam berdendam dan segala macam mak nenek spekulasi kita kepada beliau," katanya.

Menurut Erma dia hanya berharap agar segala kebenaran terserlah dan ia membuka mata rakyat.

"Saya mohon kepada sahabat semua hentikanlah memperlekeh dan menghina beliau.

"Itu bukan budaya kita. Biarkan undang-undang menentukan segalanya.

"Saya percaya atas izin Allah penangkapan ini akan membuka segala kebenaran.

"Saya berkata-kata bukan atas nama BN, Umno, Pakatan, PAS atau parti apa pun. Saya berkata-kata sebagai seorang manusia kepada manusia lain," katanya.

Lihat Komen
ADS