Cadangan membubarkan Badan Pengutip Royalti Hak Pelaku dan Persembahan Artis (Prism Berhad) bukan timbul secara tiba-tiba sebaliknya hasil resolusi mesyuarat yang diluluskan sebulat suara termasuk sebahagiannya daripada kalangan ahli badan itu sendiri.

Menurut Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez, mandat itu diperoleh pada mesyuarat agung tahunan Karyawan yang diadakan pada 30 Jun lalu.

“Semua ahli Prism yang hadir juga menandatangani petisyen untuk diserahkan kepada kepada MyIPO iaitu agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang mengendalikan hal royalti, supaya lesen badan itu dibatalkan.

“Mereka juga bersetuju akan menjadi ahli Recording Performers Malaysia Berhad (RPM) dan mengiktiraf badan itu untuk menuntut hak mereka selepas ini,” katanya kepada Malaysiakini.

Sebelum ini, Malaysiakini menyiarkan kenyataan Karyawan yang menggesa isu royalti persembahan awam artis diselesaikan dengan segera.

Kata Freddie, kemelut pembayaran royalti yang wujud sejak sekian lama semakin membimbangkan apabila wujud dua badan - Prism Berhad dan RPM - dilantik bagi menjalankan tugas berkenaan.

Dalam kenyataan itu juga, Freddie meminta campur tangan kerajaan bagi jalan penyelesaian selain mencadangkan agar urusan kutipan royalti diserahkan kepada RPM.

Boleh isi borang

Presiden Prism Berhad, Anuar Dahlan kemudian tampil memberi kenyataan balas mempertikaikan mengapa badan yang mendapat kelulusan audit daripada MyIPO itu perlu ditutup.

Bercakap kepada Malaysiakini, Anuar berkata pihaknya menjalankan tugas dengan menggunakan prinsip yang telus, pentadbiran baik dan bertanggungjawab seiring dengan dasar diamalkan dalam Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO).

Dalam pada itu, Prism Berhad turut menyerahkan surat tuntutan kepada Karyawan agar menarik balik semua kenyataan yang didakwa tidak sahih dan boleh mencemarkan imej badan itu kepada ahli-ahlinya.


Baca Prism Berhad tak rela kena tutup


Karyawan diberi masa tujuh hari untuk menarik balik semua kenyataan diberi kepada media jika tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang.

Kata Freddie, satu perhimpunan dijangka akan diadakan dalam tempoh dua minggu lagi bagi sesi taklimat mengenai perkembangan isu terbabit.

“Karyawan akan memberi peluang kepada semua ahli Prism untuk menghadiri satu lagi perhimpunan dan mereka akan diberikan taklimat tentang langkah-langkah yang telah diambil.

“Mereka juga akan diminta mengisi borang pendaftaran sebagai ahli RPM selepas melucutkan keahlian mereka dalam Prism,” katanya.

Freddie juga memberitahu Karyawan akan menghubungi menteri terbabit, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, untuk meminta beliau membantu menyelesaikan isu berkenaan dengan segera.

"Kami akan berhubung dengan menteri baru itu secepat mungkin untuk mendapatkan bantuan beliau, dengan harapan isu royalti artis dalam industri muzik yang berlarutan selama 18 tahun dapat diselesaikan secara menyeluruh," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai tuntutan saman bakal dihadapi, Freddie sekali lagi menegaskan bahawa mereka diberi kepercayaan ramai untuk menyelesaikan isu berkenaan.

“Harus ditekan di sini, bahawa kenyataan yang dilakukan oleh Karyawan berdasarkan keputusan yang telah diambil di mesyuarat agung Karyawan dan bukannya merupakan pandangan atau kehendak AJK atau Presiden sahaja.

“Apa-apa pun surat itu telah dihantar kepada peguam kami untuk tindakan lanjut,” katanya.