Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ziana, Armin bercerai talak 1
Diterbitkan:  Jul 12, 2018 6:22 PM
Dikemaskini: 10:31 AM

Perkahwinan penyanyi Ziana Zain dan Armin Zaharin Ahmad Zambri yang mula menjadi perhatian beberapa bulan lalu, akhirnya menemui titik noktah hari ini.

Armin Zaharin, 53, melafazkan cerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada pukul 2.48 petang tadi, menurut laporan Kosmo Online.

Dalam penghakimannya, Hakim Syarie Mohd Nizar Mohtar berkata talak dibuat menerusi talak rajie' dan Ziana, 50, perlu menjalani tempoh idah selama tiga bulan.

Mohd Nizar meminta mereka berdua mendaftarkan penceraian di Pejabat Agama Daerah Petaling dan membawa isu penjagaan empat anak mereka ke Mahkamah Tinggi Syariah.

Armin yang berkemeja putih memohon untuk menemui anak-anak mereka sebelum melafazkan cerai.

Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain hadir berpakaian jubah hitam serta diiringi adiknya yang juga penyanyi Anuar Zain.

Hubungan mereka mula menjadi perhatian Mac lalu selepas Armin dibawa ke mahkamah atas dakwaan mencederakan anak lelaki mereka sehingga menyebabkan luka dan lebam.

Kes itu ekoran laporan yang dibuat Ziana sendiri.

Sebulan kemudian, Ziana yang popular dengan lagu Putus Terpaksa dan Berpisah memfailkan tuntutan cerai di Mahkamah Rendah Syariah selepas Armin enggan melafazkan cerai terhadapnya.

Difahamkan Ziana membuat tuntutan cerai dibuat atas dakwaan penderaan mental yang dialaminya serta fizikal terhadap anak mereka.

Ziana dan Armin yang berkahwin pada 9 Mei 1998 dikurniakan empat cahaya mata, iaitu Muhammad Aiman, 18, dan Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.

Lihat Komen
ADS