Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pak Samad cadang DBP cetak semula karya klasik

Sasterawan Negara Datuk A Samad Said yang dijemput kembali untuk bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menekankan agar karya-karya klasik tempatan diketengahkan demi perkembangan sastera dan budaya tempatan.

Katanya, ada sejumlah karya hasil sasterawan negara yang dirasakan munasabah dan penting untuk diulang cetak.

Beliau yang lebih mesra dipanggil Pak Samad berkata, setiap penulis juga mempunyai karya-karya sendiri yang disenangi.

“Setiap orang mempunyai kesenangan sendiri, kalau saya misalnya novel Salina dan Hujan Pagi,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Selain itu, tambahnya, penulis lain yang perlu diberi tempat oleh DBP ialah Allahyarham Ibrahim Omar yang menghasilkan novel Desa Pingitan.

“Saya fikir novel itu sudah menjadi klasik yang sepatutnya berada di tengah masyarakat, khususnya dalam kalangan sasterawan atau peminat kesusasteraan.

“Harus juga diberi perhatian buku (Allahyarham) Keris Mas Rimba Harapan. Kalau yang dua ini kalau diberi perhatian sudah mencukupi,” katanya.

Semalam, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata akan membawa Samad kembali ke DBP selain memartabat dan mempromosi karya-karya sastera kepada masyarakat khususnya generasi muda.

Jelas Dr Maszlee, sebagai langkah permulaan, proses itu akan dimulakan di sekolah-sekolah.

“Saya berjanji untuk membawa beliau kembali ke DBP dan beliau bersetuju. Saya juga berjanji untuk membawa karya-karyanya kembali ke sekolah.

“Kesenian melambangkan ketamadunan, tanpa seni tamadun itu tidak bererti,” katanya dalam program Bicara Minda Sinar Harian.

Anggota parlimen Simpang Renggam itu juga berkata, Kementerian Pendidikan akan mempertingkatkan waktu diperuntukkan untuk pelajaran seni dan muzik untuk murid sekolah.

Sementara itu, mengulas hasrat dan rancangan Kementerian Pendidikan mengenai DBP, Samad berkata, sudah tiba masanya seseorang yang berkuasa dalam institusi itu mengambil berat.

“Saya tentu kecewa (jika tiada rancangan seperti ini) kerana fikir semua hasil sastera negara harus berada dekat dengan masyarakat. Jangan sampai benda itu haus dan kosong.

“Yang bertanggungjawab isu ini DBP, (jika ada) institusi lain itu wajar mereka beri sokongan mengikut munasabah. Tetapi perhatian perlu di tangan DBP,” katanya.

Lihat Komen
ADS