Meskipun kini berdepan dakwaan jenayah pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak ternyata tetap mempunyai pengkagum setianya tersendiri.
Sebuah lagu bertajuk Tq Sir dihadiahkan kepada beliau bersempena sambutan hari jadinya yang ke-65 hari ini.
Menurut penyanyi Oja atau nama asalnya Daninas Huza Daud, lagu itu berkisahkan perjuangan dan pencapaian Najib sepanjang kerjaya politiknya.
Ditanya mengenai pembabitannya menyanyikan lagu yang didedikasi kepada bekas pemimpin nombor satu negara itu, Oja menjelaskan ia dilakukan demi menghargai sumbangan Najib.
"Saya melakukan atas dasar profesional sebagai penyanyi dan pemuzik di dalam menyampaikan lagu ini," katanya kepada Malaysiakini.
Tq Sir bergenre pop balad disampaikan Oja mendapat sentuhan penulis dan komposer yang hanya mahu dikenali sebagai Donatello.
Lagu itu juga diisi dengan bait-bait kata pemberi semangat kepada Najib yang berdepan pelbagai cabaran selepas parti yang diterajuinya mengalami kekalahan bersejarah dalam pilihan raya.
Oja yang sebelum ini pernah terkenal pada era 1990-an dengan lagu seperti Dasira dan Maafkanku Ibu itu bukan sahaja terlibat sebagai penyanyi, tapi juga bertanggungjawab menyusun sepenuhnya susunan muzik sehinggalah kepada proses pengadunan lagu.
"Saya menghayati komposisi melodi dan liriknya sepenuh hati semasa menjalani proses rakaman lagu ini dan saya cuba melakukan sebaik mungkin," katanya.
Inspirasi pencinta kucing
Sementara itu, individu yang bertanggungjawab dalam proses rakaman lagu ini ialah Alif Zain dari syarikat Metamorphosis Global Studio Sdn Bhd yang juga bertindak selaku penerbit single ini.
Alif mengakui Najib merupakan idola peribadinya serta berasa terkesan dengan segala dugaan yang sedang dialami oleh pemimpin itu.
Susulan itu, dia mendapat idea untuk mendedikasikan lagu yang mengandungi kata-kata motivasi buat Najib.

"Semoga lagu ini dapat memberi mesej kepada Najib bahawa masih ramai marhaen yang tetap bersamanya serta mengharapkan agar beliau tabah di atas segala yang berlaku," katanya.
Donatello pula mengakui bahawa dia pada mulanya berasa gugup apabila ditawarkan untuk menghasilkan karya ini, namun dia mempunyai hujahnya yang tersendiri apabila memikirkan semasak-masaknya.
"Di saat pelbagai pihak sedang menghasilkan lagu kepada pemenang (Tun Dr Mahathir Mohamad) saya diberi tugas untuk melahirkan karya berbentuk penghargaan kepada insan yang sedang dirundung malang.
"Ia bukan perkara mainstream untuk kali ini dan ia amat kontradiks kepada umum di saat ini.
"Dan bukan semua orang diminta secara profesional untuk mencipta lagu kepada seseorang yang pernah menjadi perdana menteri, dan ini dirasakan satu peluang yang hebat. Justeru saya melakukannya," katanya yang mengakui teruja dalam penglibatannya itu.
Donatello berkata, untuk menghasilkan karya ini dia mengambil masa sehari bagi mengkaji sisi lain personaliti Najib.
Menariknya, Donatello berkata, dia akhirnya mendapat inspirasi lagu ini terutama apabila mendapati Najib seorang pencinta kucing sejati sepertinya.
"Paling penting Najib sentiasa kelihatan cool menghadapi seribu satu dugaan. Ini contoh yang perlu ada kepada setiap pemimpin," tambahnya.
Najib hari ini mendapat kejutan istimewa di apabila keluarga dan rakan-rakannya meraikan majlis hari jadinya di perkarangan parlimen.
Najib disajikan kek dengan yang berserta ucapan: Terima kasih Datuk Seri Najib Razak.
Sebelum ini, penyanyi Aizat Amdan menghadiahkan lagu Harapan Jadi Nyata sempena sambutan ulang tahun kelahiran yang ke-93 Dr Mahathir pada 10 Julai lalu.
Berikut merupakan lirik lagu Tq Sir.
Dirimu
Bagai obor yang terang
Petunjuk jalan
Agar pertiwi gemilang
Jasamu
Pasti ku kenang
Dan Menjadi Inspirasi
Generasi Mendatang
Tabah hadapi semua
Demi perjuangan mulia
Dikaulah wira
Hebatkan Negara
Biarlah apa menimpa
Tuhan tetap bersama
Dan Kebenaran
Pastikan menjelma
Jasamu
Pasti ku kenang
Dan Menjadi Inspirasi
Generasi Mendatang
Tabah hadapi semua
Demi perjuangan mulia
Dikaulah wira
(Legasi) Negara
Biarlah apa menimpa
Tuhan tetap bersama
Dan kebenaran
Pastikan menjelma
Thank U sir
For Transformation
Stabillity
Peace and unity
You are my Inspiration
Tabah hadapi semua
Demi perjuangan mulia
Dikaulah wira
Hebatkan Negara
Biarlah apa menimpa
Tuhan tetap bersama
Dan Kebenaran
Pastikan menjelma
Thank U Sir
For your devotion
To serve the nation
You are my Inspiration
