Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Sebuah akaun Facebook mempertikaikan tindak-tanduk Datuk Aliff Syukri Kamarzaman yang didakwa mengabaikan kebajikan kucing baka Savannah peliharannya ketika haiwan itu kesakitan untuk melahirkan anak.

Kejadian yang disifatkan malang itu membuatkan akaun pencinta haiwan berbulu dikenali Dunia Kucing tampil menulis surat terbuka buat pengasas produk kesihatan berkenaan.

Dunia Kucing pada surat bertarikh 23 Julai lalu mendakwa Aliff gagal memberikan ruang secukupnya supaya proses kelahiran haiwan terbabit tidak diganggu.

Malah sebaliknya Aliff merakamkan detik Bedah - nama haiwan peliharaannya itu - bergelut untuk melahirkan anak pertamanya.

"Baru-baru ini, sekali lagi negara gempar dengan video viral DAS (Datuk Aliff Syukri) mengenai Bedah yang telah melahirkan anak-anak kucing namun tidak berjaya di selamatkan.

“Kami berasa terkesan berikutan video viral tersebut kerana kami merasakan DAS tidak memahami dunia kucing secara ilmiahnya.

“Seperti manusia juga, kucing juga memerlukan privacy.

"Kucing melahirkan anak bukanlah sesuatu yang harus dirakam, apatah lagi membuat bising, menggedik apatah lagi terpekik seperti di dalam video tersebut,” menurut kenyataan itu.

Sakit tak boleh nak cakap

Justeru, Dunia Kucing menyatakan harapan untuk melihat penyanyi lagu Abang Nak Tegur itu memupuk sifat sensitif selain menggunakan akal fikiran sewajarnya sewaktu menguruskan apa-apa situasi berhubung haiwan peliharaannya.

“Untuk pengetahuan DAS, kucing juga bersifat seperti manusia sedikit sebanyak. Mereka perlukan kasih sayang, perhatian dan ada masa perlukan masa untuk menyendiri.

“Mereka faham erti sakit cuma sukar untuk diluahkan.

"Andai DAS dapat memahami sekelumit bahasa mereka, kami amat percaya yang DAS tidak akan berbuat sepertimana yang telah dilakukan pada Bedah ketika proses kelahiran anaknya,” menurut kenyataan itu lagi.

Seperkara lagi turut disentuh ialah cara Aliff melayan Bedah yang diletakkan di dalam sangkar. Bedah pada ketika itu dipercayai masih dalam keadaan kesakitan untuk melahirkan anak.

Melalui klip video itu, Aliff dan seorang pembantunya dilihat membawa sangkar berisi Bedah, namun terlepas dari tangan dalam keadaan haiwan itu sedang sakit untuk beranak.

Bercakap kepada Malaysiakini, Aliff memberi maklum balas bahawa tragedi yang menimpa kucing berkenaan berlaku tanpa diduga.

Katanya, kebetulan pula pada 8 Julai lalu kediamannya dipenuhi ramai tetamu yang memeriahkan majlis cukur jambul anaknya yang keempat, Yusoff Al Qardawi.

Menjelaskan sikapnya merakam kucing kesayangannya sedang sakit melahirkan, Aliff berkata ia bertujuan berkongsi detik gembira itu bersama pengikut di YouTube miliknya.

“Saya ada saluran sendiri di YouTube.

"Semua orang dalam Malaysia akan kongsi apa-apa perkara menarik mengenai diri sendiri. Kalau nak tengok, tegoklah tapi kalau tak mahu, tak ada masalah,” katanya.

Untuk rekod, detik itu berakhir dengan sedih apabila nyawa Bedah tidak dapat diselamatkan walaupun ia dibawa ke klinik veterinar.

Menceritakan detik pahit kematian kucing berkenaan Aliff berkata Bedah mati kerana beranak songsang.


Baca Mahligai Aliff 30 bilik, hiasan dalaman RM11 juta


Turut menambah dukacita, katanya, kucing itu juga didapati mengalami keracunan makanan.

“Saya sudah mencuba yang terbaik. Saya berasa kecewa dan sedih atas kematian Bedah kerana ia baka jenis mahal tetapi nak buat macam mana, ajal maut di tangan Tuhan. Kita hanya mampu merancang,” katanya.

Menjelaskan mengenai kejadian sangkar terlepas dari tangannya, Aliff berkata ketika itu dia cuba menyelamatkan Bedah dengan membawanya ke klinik atas nasihat doktor.

“Kucing tu bukan kucing biasa, jadi sukar untuk jinak dan saya khuatir tangan akan digigit,” katanya.

Lihat Komen
ADS