PU Amin yang terkenal kerana berdakwah menggunakan saluran media sosial kini mengajak orang ramai dengan sesuatu yang mungkin tidak pernah dibuat sebelum ini iaitu “Syahadah Challenge.”

Personaliti TV yang muncul melalui program realiti Pencetus Ummah, itu berkata, hasratnya adalah ingin melihat kalimah syahadah diamalkan secara individu atau bermasyarakat.

“Jarang nak mengucap syahadah saja-saja kan? Aku nak ajak korang (kalian) semua buat #SyahadahChallenge ajak dan tag kawan kawan korang untuk buat #SyahadahChallenge ni.

“Supaya kalimah lailahaillallah muhammadarrasulullah akan terus subur di bumi Allah. Jom #SyahadahChallenge,” katanya pada status dimuat naik di Instagram.

Seruan Amin atau nama sebenarnya Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim itu setakat ini terbuka khusus buat pengguna Muslim di Instagram.

Semakan mendapati Syahadah Challenge mendapat sambutan pelbagai generasi tidak kira kanak-kanak mahupun dewasa.

Klip video ringkas

Untuk menyertainya mudah, kata Amin, bagi sesiapa yang berminat, mereka hanya perlu mengucap dua kalimah syahadah dan kemudian tag dengan namanya.

“Korang buat, pastu tag aku, kemudian aku ulang sampai lebam,” katanya.

Amin turut mengiringi status berkenaan dengan sebuah klip video ringkas.

Katanya, syahadah memberi manfaat yang pelbagai kepada umat Islam khususnya jika diucapkan sebelum seseorang itu menghembuskan nafas terakhir.

Perbaharui akidah

“Sebelum ini kita ada rukun Solat Challenge daripada PU Azman, sekarang saya nak ajak anda semua untuk buat satu lagi challenge terbaru iaitu Syahadah Challenge.

“Selalu kita ucap syahadah ni waktu tahiyat akhir, tahiyat awal, jarang kita bersyahadah saja-saja.

“Untuk kita tashdid dan perbaharui akidah dan juga nilai keimanan kita yang nabi sebut barangsiapa yang mengucap kalimah lailahaillallah sebelum dia meninggal dunia, atau kata-kata terakhir sebelum dia mati, maka dia akan masuk Jannah (syurga),” katanya.

Pendakwah itu sebelum ini sering menyelar umat Islam yang terikut-ikut dengan budaya barat kerana melakukan Kiki Challenge.

Nasihatnya tertumpu kepada golongan wanita yang dilihat wajib menjaga kehormatan diri.

Amin juga sering memberikan nasihat dan menyelar golongan yang mengamalkan gaya hidup songsang seperti lesbian, gay, biseksual dan trangender.

 

A post shared by tashaaa (@natashazabidi) on

 

A post shared by PU Amin (@pencetusummah_amin) on