Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Artis veteran Norma Alang pulang ke rahmatullah
Diterbitkan:  Aug 3, 2018 8:17 PM
Dikemaskini: 12:22 PM

Penyanyi veteran yang popular dengan lagu Melati Puteh, Norma Alang meninggal dunia akibat kegagalan fungsi organ jam 7.50 malam semalam.

Arwah yang berusia 73 tahun menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur.

Menurut anak keduanya, Ahmad Rashdan Ghiathuddin, 47, Norma yang mengalami masalah jantung, buang pinggang dan darah tinggi dimasukkan ke hospital sejak awal bulan lalu ekoran komplikasi kesihatan.

“Emak kami dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) selama seminggu dan kemudian dimasukkan ke wad biasa hinggalah semalam apabila keadaan kesihatannya semakin merudum.

“Arwah mula tak sedar, tetapi doktor maklumkan dia boleh mendengar dan faham apa yang kami bualkan dengannya.

"Sebelum ini emak memang menghidap kencing manis, darah tinggi dan masalah jantung sejak lima tahun lalu.

“Walaupun kurang sihat dan selalu keluar masuk hospital, semangatnya tetap kuat. Allah lebih sayangkan dia,” katanya yang dipetik BH Online.

Kira-kira jam 11 pagi tadi, jenazah Norma dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Permata, berdekatan kediamannya di Gombak Selangor.

Norma atau nama asalnya Darmah yang berasal dari Langkap, Perak meninggalkan tiga anak dan sembilan cucu.

Norma memulakan kariernya di bidang seni suara sebagai penyanyi kumpulan orkestra pada usia 18 tahun.

Selain Melati Puteh, Norma juga pernah mempopularkan lagu rakyat, Kalau Ke Taiping.

Selain bidang nyanyian, Norma turut melebarkan bakat semula jadi sebagai pelakon pada awal 1980-an melalu drama terutama di bawah syarikat milik allahyarham Rosnah Mohd Noor, RMN Productions.

Selain itu, Norma juga meminjamkan suaranya bagi drama bersiri Jepun yang dialih suara, Oshin.

Antara lakonan Norma paling meninggalkan kesan adalah drama bersiri Siti Zulaika siaran musim Ramadan beberapa tahun lalu.

Drama itu turut membariskan Datuk Jalaluddin Hassan dan Norlida Ahmad.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS