Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ratu irama soul kini tenat
Diterbitkan:  Aug 14, 2018 10:49 AM
Dikemaskini: 3:41 AM

Aretha Franklin yang popular dengan lagu (You Make Me Feel Like) A Natural Woman dilaporkan sedang tenat dan kini menerima rawatan di pusat hospis di Detroit, AS.

Rakan-rakan dan ahli keluarga Aretha tidak putus-putus menziarahi penyanyi terbabit, selain rakan artis lain turut memberikan sokongan secara dalam talian.

Aretha yang digelar sebagai ratu irama soul pada penghujung 1960-an aktif menjadi penyanyi selama tujuh dekad.

Penyanyi kelahiran Memphis itu turut terkenal dengan lagu seperti Respect, Think dan I Say A Little Prayer itu terpaksa membatalkan konsertnya awal tahun ini ekoran berdepan masalah kesihatan.

Aretha, 76, juga diarahkan doktor untuk berehat selama dua bulan.

Pada tahun lalu dia pernah mengumumkan untuk bersara daripada konsert jelajah selepas menerbitkan album terbaru bersama Stevie Wonder. Kata Aretha dia mahu meluangkan lebih banyak masa untuk keluarga dan cucu-cucunya.

“Saya akan terus merakam, tetapi ini adalah tahun terakhir untuk sebarang konsert,” katanya.

Pernah dapat pingat

Kali terakhir Aretha membuat persembahan adalah untuk Yayasan Aids Elton John pada November 2017.

Dalam satu kenyataan media berasingan, seorang teman rapat Aretha memberitahu beberapa minggu lalu supaya orang ramai “bersiap-sedia" kerana penyanyi terbabit mungkin "akan pergi meninggalkan kita.”

Pemenang anugerah Grammy sebanyak 18 kali itu salah seorang daripada seniman yang mencatat rekod jualan terbaik sepanjang zaman selain menjadi wanita pertama disenaraikan dalam Rock and Roll Hall of Fame pada 1987.

Dia juga pernah dianugerahkan Pingat Kebesaran Presiden oleh Presiden George W Bush pada 2005.

Aretha yang juga aktivis pernah membuat persembahan pada pengebumian aktivis Martin Luther King dan sewaktu pelantikan Presiden Barak Obama pada Januari 2009.

Antara rakan artis turut berkongsi perasaan dukacita mereka adalah penyanyi Mariah Carey, Missy Elliott, penulis teater muzikal Hamilton Lin- Manuel Miranda dan aktivis Al Sharpton

Lihat Komen
ADS