Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Amir Masdi bimbang Puas tak memuaskan pendengar
Diterbitkan:  Aug 16, 2018 12:27 PM
Dikemaskini: 4:59 AM

Bekas juara Akademi Fantasia (AF) 2016, Amir Syazwan Masdi mengakui gementar menanti penerimaan pendengar muzik tempatan terhadap single Puas yang dilancarkan baru-baru ini.

Amir Syazwan atau lebih dikenali sebagai Amir Masdi berharap Puas boleh mendapat sambutan lebih baik daripada lagu-lagu nyanyiannya sebelum ini.

“Dua single terdahulu membantu menempatkan nama saya dalam industri muzik tempatan.

“Saya akan membina nama di atas tapak ini untuk mengukuhkan lagi kedudukan dalam industri. Apa yang penting, saya harus terus berikan karya yang terbaik kepada pendengar.

“Harapnya pertaruhan saya kali ini dapat mencuri perhatian pendengar muzik tanah air,” katanya dalam satu kenyataan.

Sepasang kekasih kecewa

Single terbitan Nova Music (M) Sdn. Bhd itu merupakan karya ciptaan penuh Ayden Ali bersama Ikhwan Fatanna.

Lirik lagu Puas berkisahkan sepasang kekasih yang mengalami kekecewaan. Puas turut mendapat sentuhan komposer terkenal Omar K yang juga bertindak sebagai penerbit rakaman.

Single yang berkonsepkan balada pop itu merupakan pertaruhan ketiga Amir Masdi selepas tampil dengan single terdahulu, Pemilik Cinta yang diterbitkan pada 2016 dan Waktu (2017).

Kedua-dua single mendapat sambutan baik pendengar dan berjaya menembusi carta stesen radio #1 negara, carta era 40. Pemilik Cinta dan Waktu masing-masing berjaya menembusi Top 40 dan Top 15 carta tersebut.

Sebenarnya sudah lebih setahun Amir Masdi sepi dari radar dunia hiburan tanpa karya terbaru sebelum tampil dengan Puas.

Menurut pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif di Universiti Utara Malaysia (UUM) itu, dia terpaksa mengambil masa begitu lama untuk memilih lagu yang sesuai.

“Saya tidak mahu terburu-buru mengeluarkan lagu. Saya pecaya keserasian antara lagu dan penyanyi, sebab itu saya ambil masa untuk meneliti dan memilih lagu yang benar-benar sesuai dengan ciri vokal saya.

“Tetapi bila sudah jumpa lagu yang disukai, tanpa berlengah lagi saya terus masuk studio rakaman.

"Lagu Puas ini saya terima pada bulan Ramadan lalu dan selesai rakaman sebelum raya. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar,” katanya.

Sementara itu, menurut Pengarah Urusan Nova Music (M) Sdn. Bhd, Rosmin Hashim, Amir Masdi berjaya menjiwai lagu Puas dengan cukup baik.

“Saya berani menyatakan bahawa single terbaru ini adalah single terbaik daripada Amir Masdi sepanjang kerjayanya dalam industri muzik tempatan,” katanya.

Lihat Komen
ADS