Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Pelakon veteran Wan Maimunah merayu orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang berita fitnah mengenai dirinya selepas dia dimasukkan ke Hospital Alor Gajah, Melaka sejak Sabtu lalu.

Dalam nada sayu, Wan Maimunah - yang dimasukkan ke situ ekoran mengalami sesak nafas dan jangkitan kuman pada paru-paru - memohon pihak tidak bertanggungjawab segera menghentikan dakwaan menyatakan dia sudah meninggal dunia.

“Allah masih sayangkan saya. Allah masih bagi saya nyawa dan nafas kepada saya. Apa yang digembar gemburkan dalam YouTube, semua fitnah semata-mata,” katanya.

Dramatis itu tampil dalam sebuah klip video yang dikirimkan Presiden Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT), Datuk DJ Dave kepada Malaysiakini.

Wan Maimunah yang sering membahasakan dirinya “Ibu” itu berkata, penyebaran berita tidak sahih itu boleh mendatangkan kemudaratan bukan saja pada dirinya tetapi juga anggota keluarga.

“Kepada sesiapa yang suka membuat fitnah, tolonglah. Bukan menyusahkan saya, tetapi menyusahkan kaum keluarga dan semua orang.

“Anak saya jauh di luar negara, kalau dia dapat tahu macam mana? Talian telefon di hospital tidak berapa baik.

“Minta tolong, jangan suka buat fitnah kepada yang lain-lain. Menyusahkan orang lain,” katanya.

Timbulkan keresahan pada keluarga

Aktres yang terkenal dengan watak linangan air mata itu pernah dimasukkan ke Hospital Jasin, Melaka pada November dua tahun lalu ekoran masalah bengkak jantung dan jangkitan paru-paru.

Sementara itu, Dave yang dihubungi Malaysiakini berkata, keadaan kesihatan Wan Maimunah beransur pulih.

Namun, tambahnya, aktres itu masih perlu mendapatkan rawatan rapi di hospital.

Dave turut menyelar pihak yang menyebarkan berita palsu terbabit dan menasihatkan agar mereka berubah.

“Wan Maimunah menangis dan bimbang kerana di hospital talian telefon tidak begitu baik. Kejadian ini menimbulkan keresahan kepada anggota keluarga yang tidak dapat menghubunginya.

“Saya gesa masyarakat berhati-hati, jangan menyusahkan orang lain dengan tindakan tidak bertanggungjawab seperti ini,” katanya yang turut memberikan sumbangan kepada Wan Maimunah.

Lihat Komen
ADS