Pengarang yang kisah novelnya diadaptasi menjadi filem box office di Hollywood, Crazy Rich Asians ingkar melaporkan diri dalam khidmat ketenteraan, kata kementerian pertahanan republik itu.
Menurut kenyataan pihak berkuasa, Kevin Kwan tidak pernah mendaftar untuk program khidmat negara pada 1990 walaupun notis sudah dihantar beberapa kali sebelum ini.
Kevin, 44, pernah memohon untuk menukar kewarganegaraannya sebanyak dua kali tetapi ditolak ekoran dia tidak pernah berkhidmat dalam program berkenaan.
Sekiranya gagal melunaskan tanggungjawab itu Kevin bakal berdepan hukuman tiga tahun penjara jika dia pulang ke Singapura.
Setiap lelaki warga Singapura berusia lebih 18 tahun diwajibkan menjalani program khidmat negara sama ada melalui pasukan ketenteraan, polis atau pertahanan awam.
"Kevin gagal mendaftar untuk khidmat negara pada 1990 walaupun surat sudah dihantar pada alamatnya di luar negara.
"Dia juga tidak mempunyai permit untuk menetap bagi tempoh lama di luar negara.
"Justeru, Kevin dikehendaki menunaikan kewajipannya," kata pihak berkuasa Singapura seperti dipetik BBC.
Kevin tidak memberi respon terhadap kenyataan Kementerian Pertahanan Singapura itu.
Tak iktiraf dua kerakyatan
Berita itu muncul selepas laporan akhbar Singapura merujuk perihal Kevin kepada kementerian pertahanan republik itu.
Menurut The Strait Times, Kevin membesar di Singapura tetapi meninggalkan negara itu ketika berusia 11 tahun dan ketika ini dia menetap di AS.
Bagaimanapun, dilaporkan tiada pengesahan jika Kevin sudah menjadi warganegara Amerika pada ketika ini.
Pihak berkuasa republik itu percaya dia sudah mendapat kewarganegaraan luar, namun menyatakan belum tiba masanya untuk dia dilucutkan kerakyatan. Ini kerana Singapura tidak mengiktiraf dua kerakyatan selepas seseorang berumur 21 tahun.
Kerajaan republik itu biasanya jarang memburu individu yang mengingkari atau mengelak daripada khidmat negara dengan berpindah ke luar negara tetapi mereka boleh dikenakan tindakan jika kembali ke Singapura.
Hukuman termasuk denda yang boleh mencecah hingga S$10,000 dan penjara maksimum tiga tahun boleh dikenakan jika mereka kembali ke Singapura.
Kejutan budaya
Filem Crazy Rich Asians berkisahkan seorang wanita Amerika Syarikat berketurunan Asia mengalami kejutan budaya selepas bertemu keluarga kekasihnya yang teramat kaya di Singapura.
Filem adaptasi daripada novel yang diterbitkan pada 2013 itu merupakan karya pertama Hollywood membariskan semua pelakon berketurunan Asia.
Crazy Rich Asians berjaya mengungguli carta box office AS pada tayangan pembukaan baru-baru ini.
Filem arahan John M Chu itu ditunjangi pelakon kelahiran Malaysia-British iaitu Henry Golding yang memegang watak utama sebagai Nicholas Young.
Selain Golding, Crazy Rich Asians turut dijayakan seorang lagi pelakon Malaysia Tan Sri Michelle Yeoh, Constance Wu dan Gemma Chan.
