Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Mengharapkan nasib filem terbarunya, Munafik 2, lebih baik dari sebelum ini, Syamsul Yusof, mengambil langkah drastik hingga sanggup berkurung selama sebulan dalam bilik hotel.

Memandangkan Munafik yang ditayangkan pada 2016 mendapat sambutan hangat, justeru Syamsul mengaku dia berasa terbeban dengan pencapaian yang dikecapinya suatu ketika dulu.

Munafik sebagai buah tangannya sebelum ini mencatat kutipan pecah panggung, selain diangkat menjadi pemenang Filem Terbaik Nasional pada Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28).

Keadaan berkenaan katanya menyebabkan Syamsul begitu mementingkan kesempurnaan untuk buah tangan terbarunya itu.

Kata Syamsul, 34, untuk mengilhamkan Munafik 2 dia sanggup berjauhan daripada isteri, Puteri Sarah - yang kini hamil anak kedua mereka - buat sementara waktu.

“Terus terang saya katakan, memang saya ada alami tekanan hebat untuk menyiapkan Munafik 2 sebab saya nak hasilkan naskhah berunsur keagamaan, tetapi yang macam mana? Saya tidak mahu gangguan sesiapa semasa mencari idea tu.

“Situasi itu bermula sejak peringkat awal mencari ilham, dari praproduksi berlanjutan hingga ke hari penggambaran,” katanya yang ditemui selepas majlis pratonton filem berkenaan di The Curve, Mutiara Damansara malam tadi.

Banyak buat rujukan 

Syamsul juga berkata sikapnya yang mementingkan hanya yang dirasakan terbaik itu juga menyebabkan dia mengolah semula 70 peratus skrip yang sudah disiapkan.

Munafik 2 membawa kisah ustaz Adam - watak didukung Syamsul sendiri - yang dipanggil untuk mengubati bapa Sakinah (Maya Karin) kerana menghidapi penyakit misteri.

Dalam proses itu, Adam bertemu secara tidak langsung dengan Abuja (Nasir Bilal Khan) dan pengikut-pengikutnya yang menjadi kumpulan ajaran sesat.

Dalam usaha mempertahankan kebenaran dan kesucian Islam Adam terpaksa 'berperang' dengan dirinya sendiri selain melalui detik getir melawan kekejaman Abuja.

Selain Malaysia, filem ke-10 arahan Syamsul itu dijangka dibawa masuk ke pawagam di tiga negara Asia Tenggara.

Malaysia, Singapura dan Brunei bakal menyaksikan kisah seram penuh mendebarkan itu pada 30 Ogos ini manakala di Indonesia dijangka bermula pada 26 Sept.

Kata Syamsul cabaran untuk menyiapkan Munafik 2 begitu rumit kerana dia perlu merujuk pada ulama selain perlu berhati-hati kerana bimbang mungkin ada babak yang tidak mendapat kelulusan Lembaga Penapis Filem.

Menurutnya, dalam proses menghasilkan cerita Munafik 2 ada ketika tertentu fikirannya tiba-tiba terasa menjadi sempit dan kosong.

“Saya tak dapat apa yang dikehendaki walaupun sudah menonton pelbagai kisah seram lain.

“Saya buat banyak kajian untuk mewarnai filem ini termasuk mendengar ceramah, buka kitab dan sirah nabi-nabi untuk dijadikan rujukan dan panduan,” katanya yang turut memberi bayangan bahawa akan muncul Munafik 3 selepas ini.

Lihat Komen
ADS