Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Artis gembira raikan merdeka dengan Malaysia baru
Diterbitkan:  Aug 31, 2018 2:00 PM
Dikemaskini: 6:05 AM

Sambutan Hari Kebangsaan ke-61 hari ini dianggap begitu bermakna buat rakyat Malaysia.

Tambahan pula untuk kali ini ia membuka ruang tafsiran lebih luas apabila untuk kali pertama kerajaan bukan lagi dikuasai BN.

Golongan selebriti juga dilihat tidak terkecuali untuk meraikan detik penuh bersejarah itu.

Aktres dan usahawan Rozita Che Wan misalnya secara terbuka menunjukkan rasa teruja dengan perubahan pemerintah yang berpusat di Putrajaya itu.

Dia juga tidak lupa menunjukkan penghargaan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang kembali menerajui negara pada usia 93 tahun.

“Selamat menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-61! Tahun ni betul-betul rasa merdeka apabila “service” bertukar tangan!” katanya di Twitter sambil mengiringi ciapan itu dengan tanda pagar #ilovetunm.

Dr Mahathir sebelum ini pernah menerajui kepimpinan negara sebagai perdana menteri keempat antara Julai 1981 hingga Oktober 2003.

Beliau sekali lagi kembali menjadi perdana menteri pada 10 Mei lalu melalui kejayaan Pakatan Harapan (HARAPAN) mengetepikan BN melalui pilihan raya umum ke-14.

 

 

Bagi Sharifah Amani pula, sambutan hari kebangsaan ini tidak sama dengan apa yang pernah diraikan sebelum ini.

Pelakon Sepet, Pekak dan Kolumpo itu tidak lupa menzahirkan kegembiraannya untuk Malaysia.

“Kali ini terasa lebih bermakna. Selamat Hari Merdeka buat Malaysia tercinta,” ciapnya di Twitter.

 

 

Sementara itu, Aishah pula menyentuh perihal kejujuran sekiranya hendak mermedekakan diri sendiri.

Katanya, untuk merdeka daripada golongan yang sering menindas adalah dengan cara berjuang.

Menurutnya lagi, sebagai anak seni yang sudah melayari perjalanan karier selama puluhan tahun, bukan sanjungan mahupun pujian yang hendak dicari, sebaliknya sekadar meneruskan kelangsungan hidup.

Justeru, penyanyi itu mengharapkan dirinya sentiasa merdeka daripada kekangan dan jajahan sama ada fizikal mahupun mental.

“Perjuanganku belum selesai... berpuluh tahun mengabdikan diri sebagai anak seni. Allah SWT saja yang tahu perit getirnya.

“Untuk merdeka begitu kita harus berjuang. Di zaman serba canggih ini, kita boleh cedera dan lebam biru di alam maya.

“Namun untuk merdeka dari kuasa besar yang menekan kita harus terus berjuang. Bukan untuk diri sendiri saja tapi untuk semua.

“Yang benar katakanlah benar... barulah hidup akan betul-betul merdeka... Selamat Hari Merdeka ke-61 Malaysia Baru,” katanya.

 

 

A post shared by Wan Aishah Wan Ariffin (@aishahjmm) on

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS