Lagu berunsur patriotisme Tanah Airku Tanah Airmu yang pernah didendangkan vokalis Loque dan Datuk Siti Nurhaliza Tarudin kini diberi sentuhan dan nafas baru sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-61.
Istimewanya kali ini lagu berkenaan disampaikan Loque bersama vokalis Amy Search, dengan diiringi barisan pancaragam Nakhoda Mat Lela Derhaka dari Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).
“Tanah Airku Tanah Airmu Jua dendangan pancaragam kami lebih testesterone, lebih “jantan”.
"Lebih-lebih lagi dapat berpadu tenaga dengan 'Yang Berhormat' muzik rock tanahair, Amy Search,” kata Loque dalam satu kenyataan.
Dalam projek terbaru itu, Loque menggunapakai nama 'Mat Lela' sebagai alter egonya dan lebih menarik lagu itu diberikan nafas semula ketika terbitnya fajar 'Malaysia Baru' di negara ini.
Memetik kata-kata Amy pula, projek berkenaan hanya diterima di saat-saat akhir.
“Macam kira last minute lah, tiba-tiba je Loque datang, (kata) bang kita nak buat ni okay ke? Saya pun free. Saya cakap belasah jelah jadi apa, yang paling penting dia punya rawness tu,” katanya.
Lagu berkenaan yang dirakamkan di Kampung Baru, Kuala Lumpur bertujuan menyemai rasa cinta kepada tanah air, selain mengingatkan rakyat Malaysia agar tidak lupa terhadap asal usul dan dan sejarah negara.
Mengulas mengenai makna merdeka, Amy berkata terlebih dahulu pemikiran seseorang itu haruslah “bebas.”
“Merdeka tu macam kepala kita mesti terbukalah dengan hidup kita tahun 2018. Kalau kita masih di takuk lama, kita belum merdeka.
“Kita masih belum cukup merdeka. Kita belum tahu menikmati apa itu merdeka, jadi selamat hari merdeka untuk rakyat Malaysia. Peace selamanya!” katanya.
Bagi Loque pula, erti kemerdekaan tidak akan dapat dihayati tanpa seseorang itu memiliki jati diri yang kuat.
"Merdekakah kita kalau masih malu untuk berbahasa, berbudaya tapi bangga update status dalam (bahasa) Inggeris. Apa benda yang merdeka?
"Merdeka bererti bebas dari hidup kepura-puraan. Pura-pura untuk menjadi Mat Salleh atau Arab ataupun sesiapa pun yang bukan diri kita yang sebenar," katanya.
Lagu berkenaan boleh didapati di YouTube saluran cataloQue dan audio rakaman di semua gedung-gedung digital seperti Spotify dan Apple Music.
