Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Tulus impi kongsi pentas dengan Siti, Sheila Majid

Walaupun baru tiga minggu lagu Labirin dilancarkan, karya terbaru penyanyi Indonesia, Tulus nyata sudah mendapat tempat dalam kalangan peminat negara ini.

Kata Tulus, Labirin pertama kali didengarkan di Malaysia di hadapan 1,400 peminat yang membanjiri pentas di Istana Budaya malam tadi.

“Saya rasa hati saya sangat hangat. Usia lagu Labirin baru tiga minggu dan hari ini kali pertama dibawakan secara live di sini,” katanya sewaktu Konsert Tulus Live at Istana Budaya sedang berlangsung.

Tulus, 31, berkata, saat paling mengujakan adalah apabila melihat hadirin turut sama menyanyikan lagu Labirin.

“Saya sangat senang (gembira) ada teman-teman yang sudah ikut menyanyi kerana ini baru kali ketiga lagu Labirin dipersembahkan di atas panggung," kata Tulus dalam sesi sidang media yang diadakan selepas konsert berakhir.

Selama kira-kira dua jam, Tulus tampil membawakan 15 lagu termasuk Labirin yang mengisahkan sikap seorang lelaki yang keliru dalam cuba memahami wanita.

Ilham dari kisah peribadi

Sambil menyanyi, dia turut berkongsi kisah di sebalik karya yang dihasilkannya, bermula dari album pertama yang dihasilkan pada 2011.

Tulus berkata, lagu single Teman Hidup daripada album berkenaan diilhamkan oleh kisah peribadi yang pernah dialaminya.

"Ini kisah personal yang dijadikan lagu dengan makna yang sangat luas. Bisa (boleh) dinyanyikan untuk orang-orang yang disayangi," katanya.

Menerusi lagu Jangan Cintai Aku Apa Adanya yang dibawakan secara akustik, Tulus berkongsi maksud lagu itu yang menyentuh aspek hubungan sepasang kekasih.

Katanya, dalam berkasih-sayang, seseorang itu tidak wajar hanya menerima kekurangan masing-masing tetapi perlu saling membantu memperbaiki diri.

"Kita bawakan lagu ini dengan sesederhana mungkin," kata penyanyi yang baru-baru ini muncul sebagai salah seorang artis pembuka di acara Asian Games Jakarta-Palembang 2018.

Bukan sahaja terkenal dengan melodi romantis dan lirik puitis, Tulus turut membawakan lagu Gajah yang diambil daripada nama timangannya. Malah ada juga kisah menarik di sebalik nama itu.

“Sewaktu kecil, saya dipanggil gajah dan kemudian saya ambil itu sebagai judul album kedua. Bagaimanapun, jangan tanya kenapa dulu saya dipanggil gajah," kata penyanyi kelahiran Bukit Tinggi, Sumatera Barat, itu sambil berseloroh.

Siti, suami turut saksikan persembahan

Antara yang hadir termasuk penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dan suami Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa sebagai memberi sokongan.

Tulus juga sempat berkongsi bagaimana dia diundang makan bersama Siti Nurhaliza, ketika kedatangannya ke Kuala Lumpur Jun lalu bagi pelancaran album Monokrom.

Dalam pada itu, Tulus berharap dia diberi peluang dan ruang untuk berkongsi pentas dengan penyanyi Nirmala itu.

Impian Tulus tidak terhenti di situ. Selain Siti Nurhaliza, dia turut memetik nama Datuk Sheila Majid sebagai salah seorang daripada penghibur yang didambakan untuk menjayakan persembahan bersama-sama.

“Secara peribadi saya bersyukur kerana sokongan bukan sahaja datang daripada peminat tapi juga seniman di Malaysia. Tadi saya dikirim bunga oleh Sheila Majid. Mudah-mudahan nanti bisa nyanyi sepanggung mungkin? Doakan saja,” katanya.

Bukan sahaja mendapat sokongan dari penyanyi-penyanyi Malaysia, Tulus berkata dia turut meminta pandangan daripada beberapa rakan artis di Indonesia yang sudah lebih awal menempa nama di sini.

“Baru tadi saya WhatsApp dengan Teh Ocha (penyanyi Rossa). Saya sempat bertanya juga padanya, bagaimana orang Malaysia? Katanya, orang Malaysia selalu hangat, selalu apresiatif (menghargai).

“Dan selepas berada di sini, terbukti orang Malaysia memang seperti apa yang dikhabarkan Ocha,” kata penyanyi yang akan berlepas ke Melbourne, Australia esok bagi mengadakan persembahan di sana.

Lihat Komen
ADS