Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Segelintir pihak memang selalu membuat kesimpulan mudah dan menghakimi orang gelandangan, malah ada juga beranggapan mereka itulah punca masalah sosial.

Namun, berbeza bagi Carmen Soo. Dia mempunyai pendapat sebaliknya selepas mewawancara beberapa penghuni jalanan untuk mengabadikan kisah mereka dalam buku They Took My Shoes.

Semasa menemuramah salah seorang daripada orang jalanan itu, Carmen berkata, dia begitu tersentuh dengan kisah menyayat hati seorang wanita berusia 60 tahun yang pernah menawarkan khidmat seks kepada pelanggannya.

“Apabila ditanya mengapa sanggup melacurkan diri, wanita itu menjawab, dia dilayan lebih baik oleh pelanggan-pelanggan itu berbanding suaminya sendiri," katanya.

Pelakon Crazy Rich Asians itu berkata, dia berasa saat paling menyedihkan ialah ketika warga emas itu ditangkap semasa serbuan polis dijalankan.

“Salah seorang daripada anggota polis terbabit adalah anaknya sendiri, mereka tidak berjumpa selama beberapa tahun.

“Selepas disoal siasat, wanita terbabit dibebaskan. Ketika itu anaknya ada menghulurkan wang tetapi dia tidak sanggup untuk menerimanya kerana berasa ralat tidak menunaikan tanggungjawab sebagai seorang ibu,” katanya.

Kena ada skil tinggi

Kata Carmen, sejak kejadian itu, wanita terbabit tidak lagi menjual badan untuk menyara hidup tetapi terpaksa menjadi gelandangan kerana hilang punca pendapatan.

“Anak wanita itu pula meminta ditukarkan ke Sabah,” katanya.

Carmen, 39, ditemui pada sidang media pengumuman filem terbaru lakonannya, Orang Itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.

They Took My Shoes hasil tulisan Carmen - bersama seorang lagi penulis Michelle Yoon - diinspirasikan daripada filem Orang Itu yang juga memaparkan kisah penghuni jalanan.

Untuk rekod, ini adalah pertama kali Carmen menulis buku selepas menerima cadangan pengarah Orang Itu, Low Ngai Yuen.

Berkongsi lanjut mengenai They Took My Shoes, aktres itu berkata, kemampuannya menyiap dan menerbitkan buku berkenaan banyak disumbangkan oleh bantuan diberi pekerja sosial.

Mengenai usahanya mendapatkan kisah daripada orang jalanan itu Carmen mengakui ia suatu tugas yang sangat mencabar, kecuali seseorang itu memiliki daya pujuk atau kemahiran komunikasi yang tinggi.

“Memang kita nampak mereka itu biasanya terdiri daripada orang yang tidak mempunyai identiti, tiada pekerjaan dan berkeliaran pada waktu malam, tetapi di sebalik itu masing-masing ada kisah tersendiri.

“Dan saya berasa perlu ada seseorang seperti saya untuk menceritakan kisah mereka kepada yang lain,” katanya.

Lihat Komen
ADS