Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Hasmizah 'senjata' Ulat Bulu Man mengurat Vida

Menganggap Datuk Seri Hasmiza Othman atau Datuk Seri Vida seorang wanita matang, penyanyi yang menggelarkan dirinya Ulat Bulu Man mencuba nasib dengan menghadiahkan sebuah lagu buat usahawan terkenal itu.

Lelaki yang hanya ingin dikenali sebagai Hank itu bagaimanapun menafikan cubaan itu bertujuan sengaja mahu menumpang populariti yang ada pada pengusaha kosmetik berkenaan.

Menjelaskan mengenai lirik lagu Hasmizah itu yang memuji-muji Vida, kata Hank, itu adalah salah satu cara untuk dia meluahkan perasaannya.

“Kalau nak jumpa dia, memang sangat-sangat susah. Apabila buat lagu untuk si dia... dia akan dapat mesej daripada saya secara tidak langsung melalui lagu yang dinyanyikan itu,” katanya kepada Malaysiakini.

Di sebalik lagu Hasmizah yang dinyanyikannnya, Hank mengaku dia sebenarnya mempunyai hasrat untuk menyunting Vida sebagai teman hidup.

Sementelah kedua-duanya belum berpunya.

Bagaimanapun, Hank tidak meletakkan harapan tinggi untuk diterima Vida. Malah dia masih sedar diri justeru bersedia jika hasratnya ditolak.

“Mencipta lagu untuk orang yang kita suka tak semestinya mengharapkan orang itu mahu menerima.

“Jika Vida jatuh hati dan suka akan lagu tersebut, alhamdulillah.

“Kalau dia suka dan jatuh hati kepada saya, itu adalah bonus dan alhamdulillah untuk saya sekali lagi. Maklumlah, Ulat Bulu Man sudah lama bujang,” katanya.

Lagu Hasmizah digubah oleh Hank manakala liriknya dihasilkan oleh Oja. Ia dijangka dilancarkan secara rasmi di platform digital seperti YouTube, iTunes dan Spotify mulai Oktober depan.

Petikan lagu berkenaan kini boleh dilayari di YouTube.

Selain Hasmizah, Ulat Bulu Man juga memiliki dua lagi single - Puisi Buat Perompak yang diterbitkan April lalu dan sebuah lagu raya, Joget Baju Baru.

Sementara itu, Oja berkata, pihaknya sudah menghubungi Vida bagi mendapatkan persetujuan untuk membuat kemunculan istimewa dalam klip video berkenaan.

“Hank teringin sangat nak tampilkan Vida dalam muzik video Hasmizah. Bagaimanapun, kami masih menunggu respon beliau berhubung perkara itu.

“Kami menghubungi beliau awal bulan ini selepas selesai merekod lagu berkenaan,” katanya yang berharap lagu itu dapat menambat hati Vida.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS