(Amaran: Ulasan ini mengandungi spoiler.)

FILEM | Pada 16 September lalu, Mencari Rahmat dibawa secara eksklusif ke Kuantan oleh Sarikat Indie Timor dengan kerjasama AB Roll Sdn Bhd.

Filem ini ditayangkan di Coastal Store, sebuah kafe hipster versi intelek yang terletak di antara bangunan-bangunan lama yang masih tabah berdiri di Jalan Besar Kuantan.

Penganjuran ini merupakan usaha kecil anak-anak muda yang bernaung bawah Sarikat Indie Timor untuk mengembalikan kegemilangan bandar Kuantan.

Kuantan pernah dikenali sebagai bandar kesenian pada tahun 1980-an dahulu.

Sekian lama bandar bertuah ini dilitupi oleh merah tanah galian bauksit, apalah kira jika kita membasuhnya dengan seni.

Filem yang diperam selama 37 tahun lamanya (bak kata pengarahnyalah) sebelum direalisasikan telah menarik perhatian kira-kira 50 orang penonton.

Oh ya. Mencari Rahmat ini adalah filem yang diadaptasi daripada sebuah karya hebat Oscar Wilde berjudul The Importance of Being Earnest yang memaparkan jenaka sarkastik yang menyindir tabiat hidup manusia.

Apa yang istimewa sangat dengan Mencari Rahmat ini?

Yang berselirat

Filem ini menampilkan dua watak utama – Namron sebagai Razak dan Amerul Affendi sebagai Azman.

Mencari Rahmat menceritakan bagaimana seorang Razak yang mewarisi kekayaan keluarga angkatnya perlu menjaga tanggapan positif kekasihnya, Rose, dan juga Ratna, cucu angkat kepada keluarga angkatnya di Pulau Pinang.

Pada masa yang sama, Razak seorang lelaki jalang dan kaki kelab malam di Kuala Lumpur.

Konflik filem ini bertambah berselirat apabila Azman yang merupakan kawan baik kepada Razak, dan juga sepupu kepada Rose mempunyai tabiat gemar berfoya-foya bersama perempuan serta mabuk di ibu kota.

Oleh kerana kedua-dua mereka perlu menjaga persepsi keluarga dan orang sekeliling, maka mereka terpaksa mencipta satu watak sebagai eskapisme daripada realiti kehidupan.

Ini kerana kedua-dua mereka mempunyai kepentingan peribadi. Razak ingin memperisterikan Rose yang merupakan sepupu kepada Azman dan Azman pula ingin menambat hati Ratna, gadis jagaan Razak.

Kedua-dua mereka saling kenal dan mengetahui rahsia tabiat antara satu sama lain. Oleh itu kedua-dua mereka cuba untuk menggagalkan rancangan masing-masing.

Memanglah di atas kertas filem ini dilihat begitu berselirat. Namun kecekapan pengarah dan pelakon yang berpengalaman menjadikan filem ini begitu senang dan ringan untuk dihadam.

Maka penonton tidak perlu gusar tentang pembawakan filem ini kerana menurut pengarahnya, persiapan untuk penggambaran sudah dilakukan berbulan-bulan lamanya sebelum dijalankan.

Jujur memotret manusia

Mencari Rahmat karya Al Jafree Md Yusop muncul di kala manusia tersepit dalam dilema mencari identiti yang paling sempurna di samping memuaskan nafsu yang tidak terpuaskan.

Tetapi malangnya dalam memenuhi kepuasan, hakikat realiti hidup berkehendakkan manusia menjaga persepsi orang sekeliling yang masih bernafas melalui kerongkong moral yang kaku.

Mungkin inilah mesej utama yang ingin dimuntahkan dalam filem ini; penulis sekadar meneka.

Lakonan yang tampak begitu berkesan dan halus daripada para pelakon tanah air yang mempunyai semangat kesenian yang tersirat seperti Namron, Amerul Affendi, Nadia Aqilah, Sharifah Amani, Fauziah Nawi, Azman Hassan, Adibah Noor dan Eric Fuzi menjadikan filem ini bertambah hidup.

Pendek kata menonton filem ini seperti menonton diri sendiri yang sedang beraksi di hadapan cermin.

Seorang penonton, Addy Haikal, ketika ditanya berkata falsafah yang tersurat di dalam filem ini adalah jawapan buat masyarakat umum yang mabuk menghirup racun hedonisme hingga mereka berebut-rebut menjadi trendsetter hingga nampak bersekedudukan setaraf orang kelas atasan.

Karektor pelarian identiti yang dibawa dua watak utama iaitu Razak dan Azman sangat menarik untuk diperhalusi. Hubungan konflik identiti antara babak awal dan penghujung filem ini membuatkan penonton tersentak, kata Ali Adenan ketika ditanya seusai sahaja tayangan filem ini.

Yang terpenting, mesej tersirat yang terungkai dalam filem tentang betapa ramai daripada kita yang tidak dapat melihat “rahmat” di sekeliling kerana terlalu sibuk menentukan kehidupan orang lain.

Teater dalam filem

Bagi penggemar teater, filem ini adalah sebuah kepuasan.

Dalam ruang tayangan yang begitu terhad, penonton seolah-olah dipukau oleh posisi babak-babak yang dimainkan. Ruang yang kecil itu terasa begitu lapang.

Mad Nor Kassim yang ditugaskan sebagai pengarah sinematografi dengan cemerlang menghidupkan lakonan dalam filem ini walaupun kesemua babak mengambil tempat dalam rumah yang sama.

Beliau yang pernah bekerja bersama pengarah filem allahyarhamah Yasmin Ahmad sedikit sebanyak mengimbau kembali semangat bagaimana posisi-posisi babak dalam filem-filem Yasmin dimainkan.

Dengan kata lain, hubungan perasaan dan jiwa antara penonton dan pelakon, walaupun di dua alam berbeza, terasa amat dekat.

Tayangan Tembak Dinding 2.0 diakhiri dengan sesi soal jawab bersama pengarah filem dan pengarah sinematografi.

Sepanjang pembikinan filem ini kedua-dua mereka bersetuju bahawa kegilaan terbesar adalah ketika merakam satu babak yang mengambil 62 shot!

Kerana itu kesempatan dalam ruangan ini saya ingin mengajak para pembaca sekalian untuk mencari tayangan filem ini sesegera mungkin sementara masih ditayangkan.

Penulis tegaskan sekali lagi arakian rugi besarlah jika anda tidak menonton filem ini.


HAFIZOL HAKAMI merupakan salah seorang felo di Sarikat Indie Timor, juga merupakan seorang anak muda Kuantan yang belum mempunyai teman wanita.

Ulasan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.