Paling Popular
Terkini
story images
story images

Perjalanan karier seni Kecik tidak akan terhenti, sebaliknya dia kini mengorak langkah lebih jauh selepas ditawarkan menjadi vokalis kumpulan Kristal.

Dia yang terlebih dahulu menganggotai kumpulan HyperAct menganggap, meneruskan bidang nyanyian dengan Kristal ibarat peluang kedua yang tidak akan disia-siakan.

Bagaimanapun, Kecik, 24, meminta agar kredibilitinya sebagai seorang vokalis baru dalam kumpulan itu tidak dibanding-bandingkan dengan penyanyi terdahulu.

“Jangan bandingkan saya dengan vokalis sebelum ini. Bagilah saya peluang untuk berkarya. Ini ibarat peluang kedua buat saya. Doakan kami.

“Ramai saja yang bagus, tetapi saya juga ingin tunjukkan bakat yang dimiliki,” katanya.

Kecik yang nama sebenarnya adalah Mohammad Fauzi Kamarudin ditemui pada sidang media pengumuman vokalis baru Kristal di G Tower, Kuala Lumpur semalam.

Kumpulan Kristal sebelum ini pernah dilanda kemelut dengan bekas vokalis mereka, Mohd Razlan Mohamed Yusof atau Lan, yang kini menggunakan nama Lan Solo.

Rodi (gitaris) selaku wakil Kristal mengumumkan di Instagram kumpulan itu akan “merehatkan” Lan selain mencari penyanyi lain.

Kenyataan berkenaan mengakibatkan Lan mengundur diri daripada kumpulan yang dianggotainya hampir dua dekad itu.

Ditubuhkan pada 1998, Kristal turut dianggotai Muhamad Asyraff Baharuddin atau Acap (dram) dan Muhammad Afifi Nor Mohammed atau Kechik Afifi (basis).

Kumpulan yang memperjuangkan genre Melayu Pop Rock itu, popular dengan lagu-lagu seperti Seragam Hitam, Delaila dan Resam Pak Belalang.

Berhubung situasi tegang pernah menghimpit Kristal, Kecik berkata dia seboleh-bolehnya akan mengambil ia sebagai pengajaran selain berhati-hati bagi mengelak perkara sama daripada berulang.

“Saya tidak akan terbawa-bawa dengan isu yang pernah berlaku dalam Kristal. Saya berharap dengan kehadiran saya, Kristal akan membuka satu lembaran baru yang lebih positif.

“Saya juga dapati Kristal sebuah kumpulan yang sering berbincang secara adil sebelum membuat satu-satu keputusan. Ini adalah sesuatu yang baik.

“Malah mereka tidak menghalang saya untuk melakukan projek lain sekiranya berkesempatan tetapi apa pun, keutamaan harus diberikan terlebih dahulu kepada Kristal,” katanya.

Lihat Komen
ADS